Wakil Kelantan, Rantau Panjang-EJD, mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) setelah menyingkirkan Tentera Darat FA menerusi peraturan gol di tempat lawan dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Biarpun terikat 2-2 namun kelebihan tetap memihak kepada Rantau panjang –EJD setelah kedua-dua pasukan seri 3-3 pada aksi pertama di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Turun dengan misi untuk mengulangi sejarah cemerlang yang dilakarkan Gua Musang FA, Rantau Panjang-EJD bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pemain pertahanan pelawat, Mohd Faeizudin Karim yang menanduk masuk bola pada minit ke-57.

Enam minit kemudian, skuad kendalian Juha Ismail berjaya menyamakan kedudukan melalui pertahanan, Muhammad Syahrul Rahman setelah berlaku kekalutan di depan pintu gol Tentera Darat.

Minit ke-71 tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pertahanan lawan dan Mohamad Harith Aiman Zulkefli tenang merembat masuk sekali gus meletakkan pasukannya mendahului 2-1.

Bagaimanapun, Tentera Darat FA yang dibimbing Razewan Ah Chin kembali memadamkan defisit jaringan itu apabila Muhd Taufik Mat Radi menghukum kegagalan pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola dengan menolak masuk gol kedua, seminit selepas itu.

Ketua Jurulatih Rantau Panjang- EJD, Juha Ismail, bersyukur dengan kejayaan pemainnya mara ke final sambil mengakui Tentera Darat memberikan saingan yang cukup sengit termasuk berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan.


“Apabila Tentera Darat berjaya menjaringkan gol awal, saya tidak risau kerana masa masih panjang dan jentera tengah kita berfungsi dengan baik. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan gol penyamaan dan seterusnya jaringan kedua menyusul.

“Tahniah kepada semua pemain yang berusaha gigih untuk mencipta sejarah mara ke final.

“Insya-Allah, kami akan membuat persediaan terbaik bagi menghadapi final dan berharap tonggak yang cedera dapat kembali pulih,” katanya.