Presiden Lazio, Claudio Lotito, berkata kelab itu sedia menerima tawaran untuk Sergej Milinkovic-Savic selepas pemain itu semakin kerap dikaitkan dengan Manchester United.

Pemain tengah, Milinkovic-Savic, dilaporkan sudah bersetuju untuk menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), United, dengan Ander Herrera telah berhijrah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dan masa depan Paul Pogba di Old Trafford masih belum ditentukan.

Menurut laporan, United bersedia menawarkan EURO90 juta (RM413 juta) untuk mendapatkan Milinkovic-Savic dari Lazio, yang menandatangani pemain berusia 24 tahun itu pada 2015.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia tidak melibatkan kesukaran untuk mengekalkan Milinkovic-Savic," kata Lotito.

"Kami akan melihat kepada pasaran dan sedia untuk menerima tawaran yang bersesuaian untuk pemain itu."

Milinkovic-Savic meledak tujuh gol dalam semua pertandingan musim lalu apabila Lazio muncul juara Coppa Italia dan menamatkan saingan Serie A di tangga kelapan.