LAZIO 1 NICE 0

Gol sendiri pada minit terakhir perlawanan oleh Maxime Le Marchand membolehkan Lazio menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Europa selepas menewaskan Nice 1-0 di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.


Pertemuan di Rome menyaksikan perebutan untuk mendapatkan kedudukan teratas kumpulan, namun kedua-dua pasukan tampak berhati-hati dalam setiap pergerakan.

Pierre Lees-Melou hampir memberikan pendahuluan buat pelawat ketika aksi berusia 22 minit apabila menerima hantaran daripada Dante tetapi belum sempat dia melepaskan rembatan, benteng Lazio terlebih dahulu menutup ruang.

Wesley Sneijder turut berpeluang untuk meletakkan Nice di depan pada minit ke-61, namun percubaannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar ke sebelah kiri.

Pelawat menerima tamparan hebat apabila Sneijder terpaksa digantikan oleh Arnaud Lusamba lima minit kemudian selepas mengalami kecederaan.

Tatkala perlawanan seakan-akan berakhir tanpa jaringan, sepakan sudut Lucas Leiva dari sebelah kanan membuatkan Marchand secara tidak sengaja tertanduk bola masuk ke gawang sendiri, sekaligus memberikan jaringan kemenangan buat tuan rumah.

Kemenangan 1-0 itu meletakkan Lazio muncul sebagai satu-satunya pasukan yang memungut mata maksimum selepas empat perlawanan dan selesa berada di puncak carta kumpulan.

Antara pasukan lain yang turut mengesahkan tempat dalam pusingan seterusnya adalah Arsenal dan Zenit.