JUVENTUS 1 PORTO (agregat 3-0)

Ketua jurulatih Porto, Nuno Espirito Santo, kecewa apabila pasukannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika tewas kepada Juventus dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Ketinggalan 2-0 pada aksi pertama pusingan kalah mati, harapan untuk melakar kebangkitan lebur apabila Porto terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Maxi Pereira dibuang padang.

Juventus melengkapkan kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Paulo Dybala.

Di sebalik kegagalan mereka untuk mara ke suku akhir, Nuno tetap berbangga dengan pemain-pemainnya ketika menghadapi perlawanan ini.

"Sukar untuk mengejar perlawanan dengan 10 pemain, lagi-lagi berdepan Juventus yang memiliki pemain pertahanan yang berkualiti," kata Nuno.

"Kami mahu cuba bermain dengan cara kami, kami telah cuba mengawal perlawanan, mempamerkan kualiti di bahagian serangan dan pertahanan.

"Kami menyedari kami perlu menjaringkan dua gol, layangan kad merah mengubah rentak permainan kami."