Apa yang tersirat di dalam minda Sir Alex Ferguson semestinya ditanya-tanyakan oleh peminat bola sepak seantero dunia, tidak kiralah sama ada mereka penyokong Manchester United atau mana-mana pasukan lain.

Pengurus yang paling berjaya dalam sejarah, pakar taktikal yang paling disegani.

Seperti yang diketahui ramai, biarpun sudah lama bersara, Ferguson sekali lagi memainkan peranan penting untuk membantu kelab tersayang, United, dalam menyempurnakan perpindahan Cristiano Ronaldo, beberapa hari lalu.

Sewaktu seluruh dunia menetapkan minda mereka bahawa Ronaldo pastinya bakal menyarung jersi biru Manchester City, satu panggilan telefon daripada Ferguson berjaya membuatkan Ronaldo mengubah fikiran dan akhirnya kembali ke pangkuan United.

Intipati perbualan mereka tidak mungkin bakal diketahui oleh mana-mana pihak, melainkan mereka berdua sendiri memutuskan untuk mendedahkannya.

Namun, sudah pasti begitu ramai peminat tertanya-tanya apakah yang mereka bualkan, apakah kata-kata sakti yang Ferguson lontarkan sehingga Ronaldo berjaya dipujuk?

Buku autobiografi Ferguson yang diterbitkan pada 2013 merupakan satu sumber yang cukup menarik untuk lebih memahami tentangnya, di mana dia menceritakan kisah-kisah di sebalik tabir tentang perjalan hidupnya, prinsip yang dipegang, tidak kurang juga tentang pemain-pemain yang telah menerima didikannya.




Antara pemain bertuah yang menerima bab tersendiri dalam buku itu adalah David Beckham, Rio Ferdinand, Roy Keane, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney dan sudah semestinya Ronaldo.

Ferguson memulakan bab tentang Ronaldo dengan ungkapan 'Cristiano Ronaldo adalah pemain paling berbakat yang pernah saya kendalikan. Dia jauh mengatasi kesemua pemain hebat yang pernah saya latih di United, dan saya ada ramai pemain sebegitu.'

Sepanjang 12 halaman kesemuanya, kenangan yang dikongsi Ferguson dan Ronaldo diungkapkan satu demi satu, bermula dari pertemuan mereka sewaktu United menentang Sporting Lisbon dalam perlawanan persahabatan pada 2003 sehinggalah perpindahan Ronaldo ke Real Madrid enam tahun kemudian.

Apa yang dapat dirasakan sewaktu membaca hasil penulisan Ferguson tersebut adalah betapa sayangnya beliau terhadap pemain bintang Portugis itu.

Kesemua sumber media yang melaporkan bahawa hubungan kedua-dua tokoh ini adalah bagaikan seorang ayah dan anak adalah tepat sekali.

Bab tersebut diakhiri dengan ungkapan 'Ikatan kami kekal utuh biarpun selepas dia berhijrah ke Madrid, satu pengakhiran gembira dalam sukan yang dipenuhi dengan perhubungan yang tidak henti-henti berubah.'




Laman sesawang SportsBible menyiarkan semula satu berita lama untuk memaparkan keutuhan hubungan mereka.

Tujuh tahun selepas Ronaldo meninggalkan Manchester United, dia menjuarai Euro 2016 bersama Portugal.

Ferguson berada dalam kalangan penonton dan sabar menanti ketibaan Ronaldo bagi mengucapkan tahniah.

Di saat ini, laporan akhbar The Telegraph menyatakan bahawa Ronaldo telah pun lulus ujian perubatannya dan kini hanya menanti hari untuk memulakan aksi sulungnya buat kali kedua bersama United.

Agak terhibur membaca tekaan peminat bola sepak seluruh dunia di pelbagai laman sesawang tentang intipati perbualan Ferguson dan Ronaldo.

Ada yang mencipta cerita sendiri, yang paling melucukan berbunyi begini:

Pada pagi Jumaat, telefon Ronaldo berdering.

Paparan pemanggil menunjukkan nama Alex Ferguson.

"Ah, saya dalam masalah..." ujar Ronaldo di dalam hati.

Ronaldo menjawab telefon.

Ronaldo: Hello bos.

Alex Ferguson: Betul ke kamu nak sertai Manchester City?

Ronaldo: Ya, betul bos. Boleh ke?

Alex Ferguson: Kamu dengar sini sekarang...

Ferguson memberikan 'hair dryer treatment' (leteran dan maki-hamun untuk tujuan motivasi yang sinonim dengan Ferguson) selama berjam-jam lamanya.

Dan begitulah Ronaldo menandatangani kontrak bersama United beberapa jam kemudian.

Pihak United telah menegaskan bahawa pembelian Ronaldo bukanlah atas dasar nostalgia semata-mata, tetapi adalah sesuatu yang diperlukan untuk mencatatkan episod baru penuh gemilang dalam sejarah kelab.

Tidak kiralah apa pun yang disebutkan oleh Ferguson terhadap Ronaldo, apa yang pasti adalah hatinya terbukti masih setia bersama United, bersama peminat yang tidak pernah melupakan jasanya.

United mencatatkan kemenangan bertuah ke atas Wolverhampton semalam, semoga kehadiran Ronaldo bakal merevolusikan pasukan dan menjadi pemacu untuk mereka meraih trofi juara liga akhirnya.