EVERTON 0 MANCHESTER CITY 2

Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan, melontarkan amaran kepada rakan sepasukannya bahawa pencabar akan berusaha menggagalkan usaha mereka merebut empat kejuaraan dengan taktik negatif.

The Cityzens meraih kemenangan 2-0 ke atas Everton di Goodison Park, awal pagi tadi, untuk mara ke separuh akhir Piala FA buat musim ketiga berturut-turut -- kali pertama mereka mencapai prestasi itu sejak 1931-32 dan 1933-34.

Kemenangan itu -- hasil gol sumbangan Gundogan dan Kevin De Bruyne -- tidak datang bergolek berikutan Everton menerapkan corak bertahan untuk memberi penguasaan bola kepada City.

Ia terbukti apabila The Toffees mencatatkan kawalan bola 25.9 peratus -- jumlah terendah mereka sejak perlawanan menentang pasukan kendalian Pep Guardiola itu pada Mac 2018 (18 peratus).

Gundogan kemudian tampil memuji kesabaran City dan meramalkan perlawanan seumpamanya akan menjadi satu kebiasaan dalam misi mereka untuk menyapu semua trofi yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan.

"Akan ada beberapa perlawanan seperti ini," katanya kepada BT Sport.

"Tetapi kami harus bersiap-sedia. Sekiranya kami ingin memenangi piala dan berjuang untuk segalanya, kami harus mencari jalan untuk menang.

"Kami tidak selalu dapat menampilkan permainan terbaik tetapi kami perlu terus beraksi dan mencari saat-saat yang tepat, bersabar.

"Everton melakukannya dengan sangat baik, mereka bertahan dengan baik dan mereka adalah pasukan yang hebat, jadi ia bukan mudah. ​​Sebelum sepak mula kami sudah menjangkakan bahawa kami mungkin bergelut tetapi kami masih mampu mengatasinya dan melakukannya dengan sangat baik."




Gundogan telah menyumbat 12 gol sepanjang 2021, lebih banyak daripada mana-mana pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak dia meledak jaringan pertama bersama City pada Disember 2018 ketika menentang Crystal Palace.

Pemain antarabangsa Jerman itu, yang menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut buat wakil Manchester berkenaan buat pertama kalinya, sedang menikmati sentuhan berbisanya ketika ini.

Dia menambah: "Saya berusaha untuk berada di kedudukan bagi menantikan bola muntah. Saya rasa waktunya adalah tepat -- ia adalah satu kemenangan yang hebat.

"Saya menikmati detik ini, semua orang berusaha keras. Ini bukan sesuatu yang datang bergolek jadi kami perlu membuat keputusan yang tepat.

"Saya rasa kami agak bergelut untuk mencari ruang dalam babak pertama. Kami tidak seiring di posisi yang tepat. Kami berusaha untuk kekal dalam permainan ini dan mujur segalanya berpihak kepada kami.

"Kini sasaran seterusnya adalah untuk kembali cergas dan berada dalam keadaan terbaik ketika jadual antarabangsa -- kemudian berdepan perlawanan getir di Leicester."