Sewaktu Antonio Conte membuat keputusan untuk meninggalkan Inter Milan pada musim panas lalu, ramai orang menjangkakan juara Serie A musim 2020-21 itu akan bergelut untuk meneruskan kecemerlangan di Itali.

Melihat kepada penurunan prestasi mendadak yang dihadapi Manchester United pada 2013-14, peminat Nerazzurri jelas khuatir nasib sama bakal dilalui pasukan kesayangan mereka, lebih-lebih lagi selepas Romelu Lukaku membuat keputusan untuk pulang ke Liga Perdana Inggeris dan kembali ke pangkuan Chelsea.

Masakan tidak, gandingan Lukaku dan Lautaro Martinez jelas memainkan peranan besar dalam membawa Inter menjulang gelaran Scudetto pertama sejak 2010 susulan kecemerlangan meledakkan 41 daripada 89 jaringan bagi membolehkan mereka mengungguli tangga teratas Serie A.

Kini, Simone Inzaghi menggantikan tempat Conte tetapi Lautaro masih meneruskan cabaran, mengetuai barisan depan Inter sambil dibantu oleh penggempur veteran, Edin Dzeko. Namun, tetap ada persoalan mengenai kemampuannya mengemudi Inter bagi menggalas cabaran musim ini, terutamanya isu melibatkan sepakan penalti.






Walaupun masih diberi kepercayaan oleh Inzaghi, sesetengah peminat Nerazzurri tidak berpuas hati dengan kemampuan Lautaro menyempurnakan sepakan penalti. Setakat ini, dia sudah meledakkan enam gol hasil situasi bola mati itu daripada lapan jumlah keseluruhan sepanjang kariernya.

Statistik itu menimbulkan perdebatan sama ada Lautaro mampu menggalas tugas tersebut sekiranya Inzaghi memilih untuk kekal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini. Namun, Inzaghi memiliki jawapan tersendiri.

Musim lalu, tugas sepakan penalti buat Inter digalas oleh Lukaku tetapi ekoran kegagalan Federico Dimarco menyempurnakan situasi itu ketika berdepan Atalanta baru-baru ini membuatkan Inzaghi tampil memberi kenyataan.

“Keputusan meletakkan Dimarco adalah keputusan saya memandangkan dua pemegang tugas sepakan penalti dalam skuad iaitu Lautaro dan Hakan Calhanoglu tiada di atas padang,” katanya kepada DAZN.

Setakat ini, Lautaro telah meledakkan lima gol hasil daripada enam penampilan di pentas Serie A musim ini dan bagi Inzaghi, dia sedar penyerang Argentina itu perlu digunakan dengan sebaiknya dalam setiap perancangan terutama jika mengambil kira impian yang pernah disuarakan bapa kepada penggempur itu.





Dua tahun lalu, bapa kepada Lautaro, Mario Martinez, pernah mendedahkan impiannya untuk melihat penyerang berusia 24 tahun itu beraksi di bawah bimbingan pengendali Manchester City, Pep Guardiola, dan melihat kepada situasi The Citizens yang kini tanpa kelibat penyerang selain Gabriel Jesus, mungkin Inzaghi patut berasa susah hati.

Suka atau tidak, mungkin Lautaro benar-benar sedang menunggu peluang beraksi di bawah bimbingan Guardiola, lebih-lebih lagi selepas gandingan Lu-La -- bersama Lukaku -- tidak lagi wujud musim ini.

Kredit imej: Marca