Penyerang Pulau Pinang, Ken Ilso Larsen, menyifatkan corak permainan lebih berdisiplin menjadi faktor kemenangan 3-1 pasukannya ke atas PDRM dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan itu menyaksikan Pulau Pinang turun dengan formasi 4-1-4-1 yang menuntut disiplin dalam permainan pasukan.

Sehubungan itu, Ilso mengakui pada mulanya pemain sukar mempraktikkan formasi itu dalam latihan, namun ia akhirnya berkesan pada hari perlawanan.

"Perubahan formasi mengubah sedikit posisi pemain. Kami cuba menerapkan corak itu, di mana kami berlatih sepanjang minggu walaupun ia sukar. Hanya dalam latihan terakhir, ia menjadi.

"Tetapi hari ini (semalam) kami bersetuju bahawa disiplin yang ditunjukkan memastikan kami dapat mengawal perlawanan," katanya.

Larsen, pemain kelahiran Denmark yang meledak dua gol dalam perlawanan semalam, percaya kemenangan itu akan turut memberi motivasi buat pemain kembali bangkit memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana.

Nada sama turut dilontarkan pengendali Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, sambil mengakui tekanan semakin memuncak sebelum aksi menentang PDRM.

"Kami tertekan selepas tewas dua kali berturut-turut (dalam liga) tetapi kemenangan ini dapat membangkitkan semangat pemain.

"Apa yang paling penting, mereka harus mempunnyai keyakinan. Insya-Allah selepas mereka meraih kemenangan hari ini, mereka lebih yakin dan boleh bermain seperti biasa. Itu amat mustahak," kata Zainal.

Sementara itu, pengendali PDRM, Zulhamizan Zakaria, menyifatkan dua gol awal Pulau Pinang memberi kesukaran buat pasukannya.

Bekas pemain Pahang itu turut mengakui kealpaan benteng pertahanan menjadi punca kekalahan ketika berdepan skuad The Panthers.

"Mereka terlampau negatif dan ia tidak pernah berlaku dalam latihan. Hari ini, mereka melakukannya dan kami dihukum menerusi dua gol dalam tempoh dua minit dan satu gol lagi menerusi larian penyerang yang tidak dihalang," katanya.

Namun, Zulhamizan tetap berasa ada hikmah dengan kekalahan itu yang akan membolehkan PDRM hanya menumpukan perhatian kepada meningkatkan kedudukan dalam Liga Perdana.