Ronald Koeman akan kekal selaku ketua jurulatih Barcelona bagi musim 2021-22, demikian disahkan presiden kelab itu, Joan Laporta.

Pengendali berbangsa Belanda itu -- yang merupakan legenda sewaktu bergelar pemain di Camp Nou -- membimbing Barca menamatkan LaLiga musim lalu di temoat ketiga, bermakna mereka gagal menamatkan liga di kedudukan dua teratas buat kali pertama sejak musim 2007-08 walaupun Blaugrana masih menjuarai Copa del Rey.

Lionel Messi merupakan penyumbang utama dengan menjaringkan 30 gol liga untuk memenangi Anugerah Pichichi buat kali kelapan walaupun pemain berusia 33 tahun itu menimbulkan spekulasi berkenaan masa depannya memandangkan kontraknya bersama Barca semakin menghampiri penghujung.

Koeman dilantik oleh Josep Maria Bartomeu tahun lalu susulan kegagalan Quique Setien dengan jurulatih dari Belanda itu menandatangani kontrak selama dua tahun.

Laporta kemudian kembali mengambil alih tugas Bartomeu di Camp Nou pada Mac lalu dan dilaporkan berminat untuk melantik sorang jurulatih baru pilihannya.

Bagaimanapun, dia kini mengesahkan bahawa jurulatih berusia 58 tahun berkenaan akan kekal di Barca untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.

"Selepas tempoh penilaian ini, kami bersetuju untuk mengekalkan kontrak Koeman," kata Laporta dalam sidang media.

"Kami amat berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. Mereka amat jujur dalam perbincangan ini dan kelakuan jurulatih juga amat sempurna.

"Kami menemui penyelesaian dalam beberapa perbezaan pandangan. Kami telah menyedari apa yang terbaik buat Barcelona dan gembira untuk membuat pengumuman ini."