Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari, menuntut rakan sepasukan agar berwaspada dengan kelibat dua pemain import baru skuad Perak dalam misi merebut tiga mata dalam saingan Liga Super, esok.

Dua pemain import baru Perak dari Brazil, iaitu Gilmar da Silva dan Leandro Dos Santos adalah antara yang harus diberi perhatian oleh barisan pemain Kedah bagi menghalang kemaraan lawan mencari peluang menjaringkan gol.

Khairul Helmi sedar kehadiran dua pemain itu mampu menafikan misi Lang Merah untuk meraih mata penuh, namun percaya strategi rapi yang dirancang jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff, pasti berhasil.

Semestinya, jika kejayaan berpihak kepada Kedah, ia akan menjadi penyuntik semangat kepada mereka untuk memulakan aksi pertama saingan Piala Malaysia, Selasa depan.

"Kami kenal dengan keupayaan pemain import baru Perak yang pernah beraksi dalam Liga Super.

"Justeru, kami perlu meningkatkan tumpuan terhadap perlawanan malam esok," ujar pemain pertahanan tengah itu.

Meskipun telah berehat lama dalam bulan Ramadan lalu, Khairul Helmi tidak menganggap pasukannya sudah hilang momentum perlawanan, sebaliknya menyifatkan stamina dan tahap kecergasan pemain sudah berada di tahap terbaik untuk kembali memulakan aksi.

"Pada mulanya kami agak bergelut dengan situasi semasa.

"Tetapi saya berharap kami dapat menampilkan aksi terbaik dan cuba mengubah persepsi mengenai situasi 'lambat panas' selepas berehat lama."