Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, menganggap jaringan di Stadium Selayang sebagai tugasan utamanya malam ini sebagai syarat yang perlu dipenuhi andai Lang Merah mahu beraksi selesa di Stadium Darulaman dalam perlawanan timbal balik nanti.

Jaringan di laman lawan adalah misi utama yang perlu dilunaskan anak buah Nidzam Adzha Yusof dan Liridon mengambil situasi itu sebagai tanggungjawabnya selaku penggerak kepada bentuk asakan yang telah dirangka.

Mengakui ia bukan mudah, namun Liridon menganggap kesukaran itu akan menjadi lebih minimum menerusi kerjasama sepasukan selain setiap pemain tahu peranan masing-masing.

"Harapan kami cukup tinggi. Kami akan mengharungi perlawanan di tempat lawan dan kami mempunyai sedikit kelebihan.

"Kami akan cuba menyumbat dan mendapatkan bekalan gol, seterusnya memenangi perlawanan.

"Kami menjangkakan dapat mara ke separuh akhir," katanya.

Prestasi positif Selangor akhir-akhir ini menarik perhatian Kedah dan apa yang lebih penting, tempo permainan perlu diubah bagi menyaingi corak permainan anak buah P. Maniam yang cukup selesa dengan teknik serangan balas musim ini.

"Selangor cukup berbahaya dalam serangan balas sementara bahagian pertahanan mereka cukup kental.

"Rekod pertemuan kami musim ini menyaksikan kedua-dua pasukan meraih keputusan seri (dua kali seri 1-1)."

Liridon sendiri enggan menambah duka penyokong yang baru sahaja kehilangan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan mungkin keputusan positif malam ini mampu mengubati sedikit kedukaan skuad Hijau Kuning buat masa ini.