LILLE 1 CHELSEA 2

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, meraikan kemenangan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Eropah sambil memberikan amaran buat pemainnya: "Kini usaha keras akan bermula."


Kemenangan 2-1 ke atas Lille di Perancis awal pagi tadi menebus kekecewaan mereka selepas tewas 0-1 kepada Valencia bulan lalu.

Ia turut memberikan Chelsea keyakinan untuk melalui dua perlawanan berturut-turut dengan Ajax selepas ini.

Tammy Abraham, pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-22, dan Willian, yang melakukan penampilannya yang ke-300 buat kelab itu, muncul penjaring Chelsea di Stadium Pierre-Mauroy.

Victor Osimhen menanduk masuk bola daripada sepakan sudut untuk Lille mengikat kedudukan pada satu ketika dan ruang yang diberikan pasukannya dalam kawasan penalti mencetuskan kebimbangan Lampard.

Namun, kunjungan ke timur laut Perancis itu memberikan lebih banyak perkara positif berbanding negatif buat Lampard, yang mengetuai Chelsea dalam final kejohanan itu pada 2012.

"Ia perasaan yang amat hebat kerana ia perlawanan yang amat sukar di sini, ditambah dengan tekanan selepas tewas kepada Valencia dalam perlawanan pertama.

"Kami bermain dengan tiga pertahanan dan menggerakkan bola dengan pantas dan mendapatkan gol," katanya.

Berkenaan jaringan penyamaan lawan, Lampard berkata: "Sekali lagi, ia gerakan set piece. Ia sesuatu yang kami sedar untuk diperbaiki.

"Kami perlu melakukannya dengan lebih baik, namun daripada keseluruhan perlawanan, kami lebih banyak menguasai permainan dan mencipta peluang di tempat lawan.

"Set piece adalah sesuatu yang terjadi dalam perlawanan dan ia mampu mengubah segala-galanya dan hari ini, ia hanya mengubahnya sedikit kerana saya berasa amat selesa dalam babak pertama, jadi kami perlu berusaha keras dan mengubah perkara itu," katanya.

Menanti Chelsea dalam perlawanan berikutnya ialah pasukan yang ke separuh akhir musim lalu, Ajax, yang meraih kemenangan 3-0 ke atas Lille dan Valencia dalam dua perlawanan pertama.

"Ia pasti amat sukar dan Ajax kini telah membuktikan reputasi mereka dengan bermula baik di peringkat kumpulan," kata Lampard kepada BT Sport.

"Untuk tidak memiliki sebarang mata selepas perlawanan pertama ialah satu perkara dan bertandang ke laman lawan yang sukar dengan menyedari kesukaran yang akan dilalui dalam setiap perlawanan merupakan satu perkara lain.

"Ia memberikan kami keyakinan, ia memberikan kami mata, ia memberikan kami perasaan bahawa kami akan menduduki tempat yang lebih baik dalam kumpulan ini.

"Kini usaha keras akan bermula. Setiap perlawanan akan menjadi sukar.

"Kami akan berdepan dua perlawanan dengan Ajax yang sedang beraksi baik, jadi ia terpulang kepada kami," katanya lagi.