Lampard lebih tegas dengan Abraham selepas jaring hatrik

Penulis Jemputan
September 15, 2019 01:02 MYT
WOLVES 2 CHELSEA 5
Frank Lampard akan mengambil pendekatan lebih tegas ke atas Tammy Abraham selepas penyerang Chelsea itu menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-2 ke atas Wolves malam tadi.
Abraham melonjak ke kedudukan teratas carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris apabila menghasilkan tiga gol di Stadium Molineux -- selepas menjaringkan gol berganda ke atas Norwich City dan Sheffield United sebelum ini.
Pemain berusia 21 tahun itu, yang dipinjamkan ke Bristol City, Swansea City dan Aston Villa sepanjang tiga musim lalu, berkata selepas tamat perlawanan bahawa dia mengharapkan musim ini menjadi musimnya.
Penyerang itu kelihatan terhincut-hincut pada minit ke-77 untuk digantikan dengan Michy Batshuayi dan Lampard memberikan amaran kepada wira pasukannya itu supaya mengekalkan prestasi terbaik atau dia akan mengekalkan pemain kebangsaan Belgium itu untuk bergandingan dengan Olivier Giroud di bahagian depan.
"Saya berasakannya kerana sedar kemampuannya dalam dua musim hebat Liga Kejuaraan dan dalam Liga Perdana," kata Lampard mengenai Abraham.
"Saya fikir dia perlu lebih menghargai peluang.
"Terdapat persaingan di bahagian depan. Sudah pasti saya tidak mahu merendahkan Giroud dan Batshuayi kerana kami memerlukan mereka.
"Batshuayi sentiasa tajam apabila dibawa masuk dan Oli sentiasa memberikan sesuatu di tahap tertinggi, jadi ia terpulang kepada Tammy untuk membuktikannya.
"Saya yakin dengannya dan bersedia untuk memberikannya peluang, namun selepas ini, saya akan lebih tegas kerana dia telah membuktikan kemampuannya.
"Jadi, pada ketika dia berasa terlalu selesa dan berfikir gol akan tiba dengan mudah, pada ketika itu dia akan direhatkan.
"Jadi, adalah penting untuk dia mengekalkan prestasinya.
"Saya gembira untuk melihatnya setiap hari dengan perasaan bahawa dia sentiasa mahu beraksi setiap hari, untuk menjaringkan gol setiap hari dan ia sesuatu yang istimewa.
"Anda tidak dapat melihatnya dalam setiap pemain muda dan ia sememangnya satu kurniaan," katanya.
Abraham dipinggirkan daripada skuad England dalam aksi kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria dan Kosovo, namun Lampard berasakan Gareth Southgate tidak lagi boleh terlepas pandang terhadap bintang muda The Blues itu andai dia mengekalkan prestasi terbaik.
"Dengan cara permainannya, sudah pasti dia akan terpilih tanpa mengarahkan Gareth apa yang perlu dilakukan.
"Untuk menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan dan menjadi penjaring terbanyak dengan kualiti seperti itu sepanjang perlawanan -- tiga jaringan dengan cara berbeza itu ialah apa yang anda mahukan daripada Tammy.
"Dia perlu mengekalkan prestasi dan menjadi lebih baik. Dia perlu lebih bernafsu, saya tahu dia seperti itu.
"Dia tidak boleh berehat kerana masih banyak yang perlu dilakukan dengan aksi bersama skuad England hanya berbaki beberapa minggu.
"Dia perlu sentiasa bermain di tahap itu dan dia akan memperoleh peluang yang hebat," tambahnya.