Pengendali Chelsea, Frank Lampard, menggesa Callum Hudson-Odoi untuk menggunakan Raheem Sterling sebagai contoh dalam perkembangannya.

Hudson-Odoi, 18, menandatangani kontrak baru bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu awal bulan ini, melanjutkan tempoh di Stamford Bridge sehingga 2024.

Tampil dua kali bersama skuad kebangsaan England, penyerang itu telah menjaringkan lima gol musim lalu dan turut meletakkan nama dalam senarai penjaring ketika membelasah Grimsby Town dalam saingan Piala EFL, minggu lalu.

Lampard mahu pemain muda itu mencontohi Sterling yang berkembang dengan baik untuk muncul selaku bintang England dan Manchester City.

"Saya tahu bakat besar yang dimiliki Hudson-Odoi, sebab itu kelab melanjutkan kontraknya. Kami berbesar hati dengan situasi itu tetapi banyak perkara perlu dilakukannya, banyak usaha," katanya.

"Anda boleh melihat ke sekeliling dan menyaksikan contoh terbaik, bukan hanya dalam kelab ini.

"Saya tidak suka bercakap mengenai pemain kelab lain tetapi Sterling adalah contoh terbaik berbekalkan bakat hebat, bekerja keras dan berkembang dengan baik dalam tempoh singkat. Dengan usaha dan dedikasi yang ada, hari ini semua dapat saksikan pemain yang sempurna.

"Sterling adalah contoh terbaik untuk Hudson-Odoi kerana kedua-duanya mempunyai bakat. Saya mahu dia menjadi yang terbaik kerana berpotensi untuk mencapai tahap itu. Ia juga melibatkan peluang dan saya dapat melihatnya dalam aksi sebelum ini. Dia mampu tingkatkannya.

"Dia perlu mendengar apa yang perlu dan akan berjaya. Kemudian, dia akan menjadi pemain yang kami mahukan."

Kini berada di tangga ke-11 liga, Chelsea akan melayan kunjungan Brighton and Hove Albion, malam ini.