Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berharap Timo Werner dapat segera pulih untuk menghadapi Liverpool selepas cedera kaki manakala Christian Pulisic pula mengalami kecederaan berulang.

Werner memenangi sepakan penalti dalam penampilan pertamanya ketika Chelsea menewaskan Brighton and Hove Albion 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Ketika penyerang itu dapat menghabiskan aksi selama 90 minit, Lampard mengesahkan bahawa Werner mengalami kecederaan paha, namun masih berharap pemain kebangsaan Jerman itu dapat beraksi ketika menentang Liverpool di Stamford Bridge hujung minggu ini.

"Timo mengalami kecederaan ketika memenangi sepakan penalti," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Ia lebih kepada kecederaan ringan di paha, kami berharap seperti itu, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai minggu depan.

"Tetapi saya mahu berharap ia adalah kecederaan ringan kerana kami mempunyai sedikit masa untuk dia kembali dan amat jelas dia masih dapat menghabiskan permainan biarpun mengalami kecederaan pada awal permainan," katanya.

Selepas Leandro Trossard menyamakan kedudukan untuk memadamkan jaringan penalti Jorginho, gol daripada Reece James dan Kurt Zouma memastikan Chelsea membawa pulang tiga mata.

Chelsea turun tanpa kelibat Pulisic selepas pemain itu mengalami kecederaan paha dalam final Piala FA menentang Arsenal pada 1 Ogos lalu.

Lampard mengesahkan pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu mengalami kcederaan berulang ketika dia berusaha untuk kembali cergas bagi berdepan Brighton.

"Christian berlatih dengan kami minggu lalu tetapi dia mengalami sedikit ketidakselesaan beberapa hari lalu dan tidak mungkin diturunkan hari ini.

"Tetapi dia mengalami sedikit kecederaan berulang, jadi kami akan melihat keadannya kerana saya masih tidak mendapat maklumat buat masa ini," katanya lagi.