Walaupun berada di puncak carta, laluan Sabah untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini bukan semudah dijangka kerana mereka perlu melepasi beberapa cabaran getir dalam baki empat perlawanan.

Skuad Tambadau itu bakal mengharungi dua perlawanan penting apabila bertemu dua lagi calon juara di gelanggang lawan, iaitu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan UiTM FC.

Bagaimanapun, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap yakin pasukannya memiliki segala-gala yang diperlukan untuk menghabiskan saingan musim ini dengan nota cemerlang.

Selain terpaksa mengharungi dua aksi bertemu pesaing terdekat di tempat lawan, perkara lain yang merisaukan Jelius adalah beberapa tonggaknya akan berdepan penggantungan perlawanan sekiranya mereka tidak berhati-hati.

"Kami memiliki beberapa pemain yang berisiko untuk digantung perlawanan kerana kutipan kad kuning, iaitu Park (Taesu), Maffry (Balang), Randy (Baruh), dan (Rodoljub) Paunovic.

"Park dan Maffry kini sudah mengumpul lima kad kuning dan ini bermakna mereka berisiko untuk digantung dua pelawanan sekiranya mengutip satu lagi kad kuning.

"Paunovic pula telah mengumpul dua kad kuning dan jika sekali lagi dilayangkan kad kuning, dia juga akan tersingkir untuk satu perlawanan," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu.

Jelius berkata dia tidak mahu terlalu dibebani memikirkan masalah itu, sebaliknya mahu kesemua pemain termasuk pemain simpanan untuk terus fokus bagi menghadapi perlawanan akan datang.

"Kami mungkin sudah hampir untuk ke Liga Super, namun ia bukan bermakna kami boleh berasa selesa kerana inilah peluang terbaik untuk kami menjadi juara.

"Pemain perlu terus fokus dan saya mahu kesemua mereka, termasuk pemain simpanan, sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

"Saya yakin jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, kami mampu mengatasi segala rintangan yang dilalui," katanya.

Kedudukan terkini Liga Perdana menyaksikan skuad Tambadau itu masih berada di puncak dengan mengumpulkan 34 mata daripada 16 perlawanan.

Sabah diekori rapat oleh JDT II, yang kini hanya ketinggalan satu mata , manakala UiTM FC pula ketinggalan enam mata dalam kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, Sabah dilihat mempunyai sedikit kelebihan kerana masih memiliki baki empat perlawanan berbanding JDT II dan UiTM FC yang masing-masing hanya memiliki tiga perlawanan untuk diharungi.

Satu lagi pasukan, Terengganu FC II (TFC II), yang kini di kedudukan keempat dengan 26 mata, turut berpeluang untuk mengintai kejuaraan, namun ia agak sukar.