Adam Lallana berkata Liverpool ketagih untuk memenangi trofi tatkala pemenang Liga Juara-Juara Eropah itu cuba untuk menambah Piala Dunia Kelab dalam koleksi mereka.

Liverpool bakal berdepan pemenang Piala Libertadores dan gergasi Brazil, Flamengo, dalam final Piala Dunia Kelab di Doha awal pagi Ahad ini.

Ia menjadi satu lagi peluang buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu -- yang kini di landasan terbaik untuk menjulang trofi liga domestik yang pertama sejak 1990 -- untuk menikmati kejuaraan di bawah kendalian Jurgen Klopp selepas memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.

"Ia hebat. Kami adalah juara Eropah dan bakal menjadi juara kelab dunia. Tidak ramai orang yang boleh katakannya.

"Kami akan berikan segala-galanya. Ia seperti satu ketagihan, apabila anda menang satu pingat, anda mahukan yang lain. Anda sentiasa mahu lebih."

Liverpool menempah tiket final Piala Dunia Kelab selepas mengetepikan cabaran Monterrey menerusi jaringan lewat Roberto Firmino.

Flamengo, yang mengatasi River Plate dalam saingan final Libertadores, bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Al Hilal yang beraksi dengan 10 pemain 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Ia bakal jadi aksi getir," tambah Lallana.

"Saya pasti Firmino dan Alisson akan memberikan maklumat tentang lawan.

"Kami sentiasa menyaksikan mereka. Flamengo sangat agresf, fizikal dan kami harus segera menutup ruang. Satu lagi trofi untuk dijulang. Ia tentang pemulihan.

"Satu tugas dijalankan dengan baik apabila perlawanan tidak diheret ke masa tambahan. Kami akan mendapatkan mandian ais, urut dan turun dengan aksi terbaik awal pagi Ahad nanti."