Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, dan rakan sepasukannya menyedari betapa pentingnya kemenangan di laman sendiri dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa menentang Napoli.

Pasukan bimbingan Unai Emery itu dalam prestasi hebat di depan penyokong sendiri musim ini apabila meraih kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir liga di Stadium Emirates.

Begitupun, mereka terpaksa berhempas-pulas ketika melakukan kunjungan ke tempat lawan yang menyaksikan mereka kalah lima daripada tujuh perlawanan terakhir.

Lacazette menyedari perbezaan prestasi itu dan bertekad untuk membuat satu tanda ketika menyambut anak buah Carlo Ancelotti itu di London, awal pagi esok.

"Kami sedar persembahan kami lebih baik di laman sendiri. Esok adalah hari yang sangat penting buat kami," katanya dalam sidang media, semalam.

"Kami juga tahu kami boleh mendapatkan keputusan yang baik, jadi kedua-dua perlawanan ini menjadi amat penting buat kami.

"Musim lalu, kami terkulai sebelum perlawanan akhir. Oleh itu, kami mahu mara dalam edisi kali ini. Kami perlu beraksi dengan baik dalam perlawanan ini.

"Ahad lalu (menentang Everton), secara keluruhannya kami beraksi buruk sebagai sebuah pasukan. Kami tidak mengikuti arahan pengurus tetapi kami masih mempunyai keyakinan.

"Kami sedar bahawa kami masih dalam perlumbaan merebut tiket Liga Juara-Juara (UCL) tetapi kami mahu memenangi trofi, jadi kami memiliki keyakinan."