Pahang bakal turun dengan misi serampang dua mata menjelang pertemuan dengan Pulau Pinang esok -- bukan sahaja mahukan kemenangan tetapi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Hasrat itu diluahkan tonggak pertahanan, Afif Amiruddin, selepas kecewa dua perlawanan terakhir menyaksikan kubu Pahang bolos enam kali.

Bukan atas faktor keserasian yang belum menjadi dengan pertahanan import, Heo Jae-won, tetapi lebih kepada disiplin bertahan sebagai satu pasukan.

"Kami tidak bertahan dengan baik sebagai satu pasukan, kami perlu perbaiki perkara ini. Perjalanan liga masih panjang," jelas Afif.

Dua perlawanan sebelum ini menyaksikan Pahang tewas 1-4 kepada Kedah sebelum bangkit meraih kejayaan 4-2 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Piala FA.

Menurut Afif lagi, dia berharap kelebihan beraksi di laman sendiri bakal memberi kelebihan.

Selepas tiga kali berturut-turut bertandang ke tempat lawan, dia mengakui faktor keletihan juga memainkan peranan dalam kemerosotan prestasi Pahang.

"Kami agak kepenatan dalam dua perlawanan sebelum ini tetapi itu bukan alasan. Kami perlu perbaiki apa yang lemah," tambahnya.