UNION BERLIN 3 BORUSSIA DORTMUND 1

Lucien Favre kecewa dengan sikap kurang sabar Borussia Dortmund yang mendorong mereka menjadi mangsa kemenangan pertama Union Berlin dalam Bundesliga, awal pagi tadi.


Marius Bulter menjaringkan dua gol ketika Union meraih kemenangan 3-1 di Berlin.

Gol pembukaan Butler hanya bertahan untuk seketika sebelum Paco Alcacer menyamakan kedudukan, namun dia menjaringkan satu gol lagi pada lima minit pertama babak kedua sebelum Sebastian Andersson menjaringkan gol ketiga buat pendatang baru Bundesliga itu.

"Saya fikir ia akan menjadi seperti babak kedua ketika kami menentang Cologne tetapi ia tidak berlaku," kata pengendali Dortmund itu merujuk kepada kebangkitan pasukannya ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Cologne, minggu lalu.

"Kami perlu kekal bersabar dan bukan bermain dengan tergesa-gesa selepas kedudukan 1-1.

"Kami perlu bertahan dengan baik. Ia amat penting.

"Sebaliknya, kami hilang sabar (dan dibolosi) gol yang tidak sepatutnya.

"Selepas itu, kami sepatutnya lebih bersabar.

"Masih ada peluang untuk menjadikannya 2-2 dan mungkin juga boleh menang.

"Aksi kami dalam babak kedua tidak bagus," katanya.