Pengurus Arsenal, Unai Emery, memberitahu Mesut Ozil bahawa pemain itu perlu beraksi konsisten tanpa sebarang kecederaan dan penyakit jika mahu terus bersama pasukannya.

Ozil, 30, sedang melalui musim sukar bersama The Gunners dengan hanya tampil dalam 14 daripada 26 perlawanan liga musim ini.

Kecederaan dan penyakit menyumbang kepada keadaan itu walaupun dia tidak dapat memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan

Keadaan itu memaksa Emery meminggirkannya dalam sebahagian besar perlawanan musim ini.

Namun, menjelang perlawanan kedua pusingan 32 Liga Europa menentang BATE awal pagi esok, Emery tertarik dengan komitmen yang ditunjukkan Ozil sewaktu sesi latihan dan mendedahkan pemain itu mungkin diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

Emery tidak akan terbawa-bawa dengan perkara itu, namun memaklumkan kepada Ozil bahawa dia perlu membuktikan dirinya mampu beraksi konsisten.

"Kunci sudah berada di tangannya. Dia sudah berusaha keras sepanjang minggu ini," kata Emery.

"Saya mahu aksi konsisten daripadanya untuk sentiasa berada dengan kami sewaktu sesi latihan.

"Apabila anda dapat berlatih dengan konsisten, anda akan membantu kami dengan prestasi hebat di atas padang.

"Minggu ini waktu yang baik buat semua pemain. Saya dapat lihat dia berlatih seperti mana yang kami mahukan.

"Dia perlu sentiasa ada sewaktu sesi latihan, tanpa kecederaan, tanpa penyakit," katanya.

Arsenal akan turun beraksi awal pagi esok selepas ketinggalan 0-1 dalam perlawanan pertama.

Ketika Emery mengharapkan sokongan padu penyokong di Stadium Emirates, dia tidak pasti sama ada stadium itu akan dipenuhi penyokong mereka atau tidak.

"Saya tidak pasti (sama ada stadium akan penuh), tetapi kami memerlukan penyokong kami.

"Suasana yang hebat amat penting bagi kami.

"Selepas kekalahan dalam perlawanan pertama, kami perlu memanfaatkan 90 minit perlawanan dan jika ia terpaksa berlarutan, kami sudah bersedia.

"Amat penting untuk kami beraksi di depan penyokong yang ramai.

"Kami memerlukan sokongan, saya berharap suasana yang hebat itu akan membantu kami.

"Dengan penyokong seperti itu, saya yakin pemain saya mampu beraksi baik," tambahnya.