Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) membuka tirai malam tadi dengan juara bertahan, Kuching, memanfaatkan pengalaman untuk menewaskan pencabar awal, Sri Aman, 2-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Aksi Zon Borneo II itu menyaksikan Kuching yang bermain di laman sendiri sebenarnya mampu menang dengan jaringan lebih besar, namun ketumpulan tindakan penyudah menggagalkan hasrat tersebut.

Dibarisi pemain-pemain berpengalaman, Kuching mencipta gol awal menerusi Mohd Asrullah Drahman apabila merembat masuk bola dalam suasana kelam-kabut di hadapan gawang Sri Aman pada minit ke-30.

Babak kedua menyaksikan perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan, malangnya tiada gol berjaya dihasilkan sehingga ke masa kecederaan, apabila Mohamad Shazwan membuat rembatan menggegarkan gawang untuk keputusan muktamad 2-0.

Dengan kemenangan sulung itu, Kuching sebenarnya sedang membina ‘momentum’ untuk mengekalkan rentak kejuaraannya pada tahun ini.

Terdahulu, berlangsung upacara rasmi pembukaan kempen LBR edisi 2016-2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Apandi Hamzah; Naib Presiden Kanan FAM, Nizam Sani; Pengerusi LBR, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman; Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Abdul Rahim, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching, Rakawi Ibrahim.

Acara dimulakan dengan penyerahan piala pusingan kepada Shamsul Anwar oleh Rakawi, disusuli sesi memperkenalkan pemain kepada Abang Johari.

Sebanyak 109 pasukan menyertai kejohanan pada edisi kali ini yang ditaja Bank Rakyat dan melibatkan lapan zon.

Selepas pertemuan sulung malam tadi, semua perlawanan peringkat kumpulan di seluruh negara akan berlangsung pada 30 September dan 1 Oktober depan.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala naib johan membawa pulang RM750,000.