Pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria, mengesahkan pasukan itu akan terus beraksi dalam Liga Perdana musim ini selepas berjaya mendapatkan penaja baru yang akan membiayai kewangan pasukan itu bermula bulan ini sehingga akhir musim.

Ismail mengakui sidang media semalam sepatutnya menjadi pengumumannya dan barisan pemain untuk menarik diri pada musim ini selepas tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak awal musim daripada pengurusan baru yang kini di bawah kelab Marcerra United.

Bagaimanapun, ia menjadi sidang media yang mengesahkan Kuantan FA akan terus kekal beraksi berikutan kemasukan penajaan baru.

Ismail enggan menamakan penaja baru itu, namun mengesahkan penaja berkenaan turut terbabit menaja dua kelab Liga FAM, Hanelang FC dan Terengganu City FC.

"Saya sebenarnya sukar untuk mengesahkan perkara ini kerana penaja ini sendiri akan menemui pihak media bagi menjelaskan perkara sebenar.

"Apa yang boleh saya katakan, Kuantan FA dan penaja ini telah berjumpa dan bersetuju untuk menaja, bermula April dan seterusnya.

"Ia merangkumi segala perbelanjaan pemain-pemain seperti tempat tinggal dan 'token'," kata Ismail.

Bagi pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abdul Rahman, berita itu amat melegakan kerana mendapatkan pihak yang mampu membantu mereka terus kekal beraksi kerana sikap kurang bertanggungjawab Marcerra United merencatkan kerjaya pemain muda.

"Saya sudah beraksi dalam Liga Malaysia selama hampir 15 tahun, ini pengalaman terburuk yang pertama pernah saya lalui.

"Bagaimanapun, mungkin saya masih boleh hidup tetapi saya kasihan melihat pemain-pemain muda. Situasi ini boleh mematikan bakat mereka," tambahnya.

Sementara itu, awang import, Alexandru Tudose, turut menyuarakan rasa kesal terhadap pihak pengurusan yang langsung tidak bertanggungjawab.

Pemain dari Romania itu berharap pucuk pimpinan Marcerra United akan dikenakan tindakan kerana nyata gagal menunaikan komitmen selaku majikan sebuah pasukan profesional dalam Liga Malaysia.

"Sesuatu harus dilakukan kepada individu yang bertanggungjawab. Perkara ini akan selesai kerana saya tahu ia mampu diperbaiki. Diharapkan kehadiran penaja baru akan menjadikan segala perkara kembali baik.

"Bagaimanapun, pada pendapat saya, individu ini harus dihukum. Saya mahu mengambil tindakan terhadapnya," kata Tudose.

Bekas pemain Melaka itu mengakui ini merupakan pengalaman paling sukar dilaluinya sejak bergelar pemain profesional pada 2004.

Dalam masa sama. Presiden Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, memberi jaminan bahawa persatuan itu akan memperjuangkan hak pemain Kuantan FA memandangkan setiap pemain Kuantan FA adalah ahli persatuan itu.

"Seperti maklum, Marcerra masih lagi berhutang dengan pemain-pemain.

"Jadi, kami tetap akan melakukan proses tersebut kerana kebajikan pemain sebelum ini harus dituntut.

"Kami akan meneruskan dengan prosedur undang-undang dan sebagainya," ujar Rezal.