Pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria, berharap pemainnya tidak terkesan dengan isu kelewatan pembayaran gaji yang membelenggu pasukan berkenaan sejak Disember tahun lalu menjelang pertemuan dengan pasukan amatur dari liga sosial, Axis 02, dalam pusingan kedua Piala FA, malam ini.

Ismail menyerahkan isu kelewatan gaji kepada pihak pengurusan sambil yakin perkara itu dapat diselesaikan sepenuhnya tidak lama lagi.

Enggan mengulas secara mendalam, dia mahu memberi fokus terhadap tugas kejurulatihan dan menyeru pemain agar mengutamakan maruah pasukan kerana tidak mahu mereka dimalukan pasukan berstatus amatur di pentas Piala FA.

"Saya meletakkan ke tepi (isu gaji) tetapi setakat ini pemain bersikap profesional, masih lagi fokus kepada perlawanan dan masih dalam kawalan.

"Saya berharap perkara ini tidak terbawa-bawa ke dalam perlawanan.

"Saya yakin pihak pengurusan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu dan diselesaikan dalam masa terdekat. Saya yakin," katanya.

Tambah Ismail, dia tidak banyak mengetahui kekuatan lawan yang bakal ditemui di Stadium UiTM, Shah Alam, itu yang merupakan johan Liga Juara Selangor.

Begitupun, itu tidak bermakna dia mengambil mudah apabila bersedia menurunkan kesemua pemain import yang ada.

"Sememangnya saya tidak pernah tengok pasukan ini dan tidak tahu cara dan sistem mereka bermain.

"Bagaimanapun, pendekatan saya mudah, saya mahu melayan mereka seperti pasukan sebelum ini dan menganggap mereka sebagai pasukan yang bagus.

"Saya mahu melihat pemain bermain sehabis baik untuk memenangi perlawanan ini," katanya.