Menjelang perlawanan Liga Perdana malam esok, Kuala Lumpur bertekad mahu mencari tiga mata berdepan pasukan MISC-MIFA bagi mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia 2017.

Persaingan merebut slot Piala Malaysia dalam kalangan pasukan Liga Perdana makin sengit, terutama di antara Kuala Lumpur, UiTM dan PDRM yang mempunyai perbezaan mata yang tidak jauh berbeza.

Berdasarkan persembahan cemerlang Kuala Lumpur dalam dua perlawanan sebelum ini, menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perlis, yang memihak kepada skuad warga kota, jurulatih Fabio Magrao mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan itu apabila berdepan MISC-MIFA.

"Kami perlu memberikan tumpuan untuk perlawanan ini. Saya menasihatkan pemain-pemain perlu menghadapi MISC-MIFA sama seperti pasukan-pasukan lain," kata Magrao.

Di atas kertas, Kuala Lumpur tampak tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan MISC-MIFA yang kini dilanda pelbagai masalah.

Kuala Lumpur kini di tangga kelima liga dengan 17 mata manakala MISC-MIFA terperosok di tangga ke-11 dengan hanya mengutip enam mata.

"Kuala Lumpur perlu menampilkan aksi yang penuh berkualiti dan mengutip tiga mata penuh ketika berdepan MISC-MIFA," kata penyerang, Guilherme De Paula.