Skuad Kuala Lumpur bakal mengharungi satu lagi ujian getir dalam saingan Liga Super 2019 apabila membuat perhitungan dengan juara lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat ini.

Jurulatihnya, Yusri Che Lah, sudah menjangkakan laluan perit buat Kuala Lumpur sejurus jadual Liga Super 2019 dikeluarkan.

Enam perlawanan pertama menyaksikan The City Boys bakal bertemu pencabar hebat -- selepas Pahang, kini mereka bakal bertandang ke Stadium Larkin bertemu JDT.

Yusri mengakui Kuala Lumpur bukan berada di satu tahap yang sama dengan juara lima kali Liga Super itu, namun ia bukanlah penghalang untuk mereka sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

"Walaupun semua menjangkakan Kuala Lumpur akan pulang dengan tangan kosong, kami berharap keputusan berbeza dapat dilakukan tatkala pasukan tanpa beberapa tonggak utama," katanya.

Berita baik buat Kuala Lumpur setelah kemelut gaji dapat diselesaikan ialah ia menjadi tonik menjelang pertemuan Jumaat ini.

Musim lalu, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan JDT dalam saingan liga sebelum mereka tewas 0-2 dalam pusingan kedua.

"Kami telah memperbaiki beberapa kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini, kami mahu memastikan ia tidak berulang ketika berdepan JDT," kata pemain Kuala Lumpur, Fitri Omar.