Max Kruse mendedahkan dia menerima tawaran daripada Liverpool sebelum menyertai Fenerbahce bulan lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu berhijrah ke Liga Super Turki selepas menolak lanjutan kontrak bersama kelab Bundesliga, Werder Bremen.

Sebelum ini, Kruse dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool dan dia menjelaskan telah dirisik pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu sebelum memilih Turki sebagai destinasi demi kebaikan karier.

"Saya menerima banyak tawaran dan Liverpool salah satu daripadanya," katanya.

Dia menambah bahawa Fenerbahce menjadi pilihan kerana mempunyai perasaan yang bagus tentangnya untuk langkah seterusnya dalam karier.

Kruse menjaringkan 32 gol dalam 84 penampilan Bundesliga di antara Ogos 2016 dan Jun tahun ini.

Sementara itu, Klopp sedang mencari penyerang gantian buat Roberto Firmino selepas Daniel Sturridge meninggalkan pasukan.

Divock Origi yang menjaringkan gol ketika kemenangan dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu serta pemain berusia 19 tahun, Rhian Brewster, merupakan pilihan lain di bahagian serangan.

"Saya sukakannya dan dia pemain hebat. Mengapa perlu saya nafikannya?" ujar Klopp mengenai Brewster.

"Dia adalah penyerang unggul, berbakat dan saya telah memberitahunya bahawa dia memiliki peranan penting tahun ini. Sejauh mana, itu bergantung kepadanya."