Toni Kroos berharap Real Madrid akhirnya berjaya mendapatkan khidmat Kylian Mbappe tahun depan setelah percubaan mereka gagal untuk menandatangani bintang Paris Saint-Germain (PSG) di jendela perpindahan terakhir.

Real dilaporkan telah melakukan tiga bidaan untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Perancis itu pada Julai dan Ogos, yang terakhir dikatakan bernilai lebih daripada EURO200 juta.

Walau bagaimanapun, Mbappe akan menjadi ejen bebas akhir musim ini dan oleh itu dapat membuat perjanjian pra-kontrak dengan Real - atau kelab lain - pada permulaan Januari tahun depan.

Kroos sebelum ini bercakap mengenai potensi kelabnya untuk mendapatkan khidmat Mbappe dan kekal bertekad untuk bergandingan bersama pemain berusia 22 tahun itu pada 2022.

"Musim panas lalu, saya sudah bercakap saya mahukan pemain itu untuk menyertai pasukan, tetapi jika tidak, kami memiliki pasukan yang cukup baik," katanya.

"Mari kita lihat apa akan berlaku pada masa akan datang. Sukar untuk saya berkata, kerana keputusan tidak terletak di tangan saya.

"Kualitinya tidak berubah -- dia seorang pemain yang berkualiti dan apa yang kami tahu adalah Real mahu menandatanganinya tetapi tidak berjaya pada akhirnya.

"Saya fikir kami bermain dengan baik dan untuk masa depan pendapat saya tidak berubah: pemain terbaik harus berada di Real, dan dia pasti menjadi salah seorang daripada pasukan ini."