Toni Kroos mempertahankan Leroy Sane, Julian Brandt dan Serge Gnabry untuk membantu Jerman memberi saingan dalam Euro 2020 sambil mendakwa skuad kendalian Joachim Low itu kini lebih baik berbanding sewaktu tersingkir daripada Piala Dunia tahun lalu.

Pemain tengah Real Madrid itu, yang membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil, memberikan gambaran positif mengenai pasukannya untuk tempoh 12 bulan akan datang setelah disingkirkan daripada peringkat kumpulan ketika di Russia.

Gnabry dan Sane merupakan antara penjaring gol sewaktu Jerman membelasah Estonia 8-0 dalam aksi terakhir saingan kelayakan dan mereka kini menduduki tangga kedua Kumpulan C sambil memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding pendahulu, Ireland Utara.

Kroos memberitahu Kolner Stadt-Anzeiger bahawa kreativiti yang dimiliki barisan muda bimbingan Low itu mampu mengubah nasib negaranya, apabila berkata: "Saya mempunyai perasaan bagus menjelang Euro 2020.

"Sasaran kami masih mahu mendominasi permainan tetapi kami ingin meningkatkan kemaraan kami. Terutamanya di bahagian serangan, kami mempunyai pemain yang mampu memberi masalah kepada lawan seperti Sane, Brandt dan Gnabry.

"Ia membuatkan kami sukar dijangka dan lebih baik berbanding Piala Dunia."

Kroos turut mengecam jurulatih luar yang dirasakan tidak dapat membantu dalam perkembangan pemain dan menggesa bintang Jerman lain untuk mengubah keputusan menerusi corak permainan mereka.

Pemain berusia 29 tahun itu menghabiskan lima tahun terakhir di Real Madrid, di mana dia beraksi di bawah bimbingan Carlo Ancelotti, Rafael Benitez, Julen Lopetegui, Santiago Solari dan Zinedine Zidane tetapi dia melihat sesetengah pemain Jerman tidak menggunakan bakat yang dimiliki.

"Saya harap lebih ramai jurulatih memberikan tumpuan kepada corak permainan berbanding hanya menekankan keputusan dan mata," tambahnya.