Toni Kroos bakal berehat panjang selepas Real Madrid mengesahkan pemain tengah itu mengalami koyakan otot aduktor di paha.

Pemain tengah Jerman itu digantikan 10 minit sebelum perlawanan berakhir ketika tewas 2-0 kepada Real Sociedad di Santiago Bernabeu kelmarin, keputusan yang menyaksikan skuad pimpinan Santiago Solari itu sekadar di tangga kelima LaLiga.

Real tidak memberikan tempoh Kroos bakal diketepikan tetapi kecederaan yang dialami mungkin memerlukan sekurang-sekurangnya tiga minggu sebelum ia pulih sepenuhnya.

Ini bermakna pemain berusia 29 tahun itu akan terlepas dua aksi Copa del Rey berdepan Leganes dalam pusingan 16 dan aksi liga berdepan Real Betis dan Sevilla.

Los Blancos akan mengakhiri bulan Januari dengan kunjungan ke Espanyol sebelum berdepan Deportivo Alaves di Bernabeu.

Ketiadaan Kroos menambah lagi tekanan buat Solari, yang tanpa khidmat Gareth Bale (betis), Mariano (pinggul), Marco Asensio dan Marcos Llorente (hamstring) ekoran kecederaan.