Kecederaan betis yang menimpa James Rodriguez menambah senarai pemain tercedera dalam skuad pendahulu LaLiga, Real Madrid.

Belum sempat perancang Colombia itu pulih daripada kecederaan betis kiri yang telah meminggirkannya selama empat perlawanan, kini betis kanannya pula mengalami masalah yang mungkin memaksanya berehat sehingga tiga minggu.

"James berdepan masalah dengan satu lagi kakinya," kata pengurus Real, Zinedine Zidane, menjelang kunjungan ke Celta Vigo untuk aksi Copa del Rey.

Madrid berdepan tugas berat untuk ke separuh akhir apabila perlu memadamkan defisit 2-1 daripada perlawanan peringkat pertama.

"Berita baiknya, betisnya hanya mengalami ketegangan, bukan kecederaan serius."

Kemenangan 2-1 ke atas Malaga hujung minggu lalu merupakan kemenangan pertama Madrid dalam empat perlawanan yang menyaksikan mereka kini dihimpit masalah kecederaan.

Marcelo dan pemain tengah, Luka Modric, mengalami kecederaan hamstring dan paha minggu lalu tatkala Zidane sudah pun kehilangan Pepe (betis), Dani Carvajal (hamstring) dan Gareth Bale (buku lali).

"Benar kami sedang berdepan beberapa kecederaan, namun saya hanya mahu mengatakan bahawa saya yang bertanggungjawab di atas segala-galanya," kata Zidane selepas gaya latihan dan kakitangan perubatannya mula dipertikaikan.

"Kami cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan pemain-pemain dalam keadaan baik.

"Saya gembira sekiranya semua pemain dapat diturunkan. Tapi apa boleh kami buat?

"Ini boleh berlaku dan kini giliran kami yang perlu menghadapinya tapi kami tidak bimbang. Kami perlu meneruskan usaha dengan pemain sedia ada."

Zidane menegaskan dia tidak kesal menurunkan pemain utama yang sama sepanjang Januari ini ketika mereka mengharungi jadual LaLiga dan Copa del Rey, sebaliknya dia menuntut anak buahnya agar mempamerkan permainan lebih menarik yang menyaksikan mereka mencipta rekod baru Sepanyol, dengan 40 perlawanan tanpa kalah.

Zidane turut menamakan anaknya, Enzo, dan rakan sepasukannya di akademi Castilla, Achraf Hakimi, untuk perlawanan menentang Celta Vigo, awal pagi esok.