Niko Kovac menegaskan semua pemain di Eintracht Frankfurt bersatu apabila mereka bersedia berdepan bakal majikannya, Bayern Munich, dalam final DFB-Pokal di Berlin, Khamis ini.

Kovac, yang akan menyandang tugas jurulatih baru kelab Bavaria itu pada akhir musim ini, menjadi dalang kemenangan 1-0 Frankfurt ke atas Schalke di Veltins-Arena, dengan Luka Jovic menjaringkan gol tunggal pada minit ke-74.

Pengarah Bolasepak Frankfurt, Fredi Bobic, menganggap penghijrahan Kovac ke Bayern sebagai tidak menghormati pasukan.

Kovac, bagaimanapun, menegaskan bahawa setiap individu di kelab itu mempunyai satu hala tuju dan dia akan meluangkan masa bersama Bobic untuk minum bersama bagi meraikan kejayaan mereka, seperti yang selalu dilakukannya.

Dia memberitahu ARD: "Selepas semua mengatakan kami tidak lagi bersatu sejak beberapa hari terakhir ini, kami lihat hari ini bahawa kami sememangnya bersatu -- baik di dalam mahupun di luar padang.

"Apapun yang berlaku, kami (Bobic dan saya) akan minum bersama kerana kami kawan baik dan bukan hanya bila menang."

Bobic, yang menuduh Bayern mementingkan diri sendiri ketika mengambil Kovac, bersetuju bahawa mereka akan meluangkan masa minum bersama selepas menempah slot perlawanan akhir DFB-Pokal buat kali kedua berturut-turut.

"Ia seperti yang berlaku sebelum ini dan ia akan berlaku pada masa akan datang," katanya.

"Semua perkara di antara Niko dan saya baik-baik saja."