Niko Kovac memuji Bayern Munich yang mengubah nasib musim ini dengan menjulang dua trofi susulan kejayaan memenangi Piala Jerman awal pagi tadi.

Dua gol daripada Robert Lewandowski dan satu jaringan Kingsley Coman menyaksikan Bayern mencatat keputusan 3-0 ke atas RB Leipzig di pentas final.

Selepas bermula agak perlahan tahun lalu, Kovac mengetuai gergasi Jerman itu untuk memenangi kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman.

Ditanya sama ada dia berfikir Bayern akan meraih dua trofi musim ini, Kovac memuji pasukannya dan menegaskan dia tidak pernah berputus asa.

"Jika saya katakan ya, anda mungkin akan fikir saya gila," katanya.

"Di Bayern, anda sentiasa menuju setiap musim dengan sasaran untuk memenangi trofi. Kami jauh di belakang tetapi pasukan telah melakukan tugas dengan baik selepas itu.

"Aksi menentang Benfica adalah titik kebangkitan. Kami menang 5-1 di penghujung November. Sejak itu, kami hanya tewas dua perlawanan, satu ketika berdepan Bayern Leverkusen dalam saingan Bundesliga dan satu lagi adalah di laman sendiri ketika melayan kunjungan Liverpool. Jadi, anda harus sentiasa percaya.

"Saya mencari peluang, bukan berangan-angan. Kami perlu menstabilkan diri di awal musim dan kami berjaya. Jika anda berputus asa, anda tidak akan mencapai kejayaan ini. Ini adalah kekuatan pasukan ini.

"Namun, ia juga menampakkan perwatakan saya. Saya tidak tahu cara untuk putus asa walaupun ia sukar. Putus asa adalah cara utama untuk gagal. Ia tidak wujud buat saya."

Kovac yang bakal bersama Bayern sehingga 2021 dijangka akan kekal mengendalikan pasukan setelah kejayaan dua trofi itu.

Pengurus dari Croatia itu kini tidak sabar menuju rehat musim panas sebelum memulakan persiapan bagi kempen 2019-20.

"Saya gembira tahun ini berakhir sebegini. Saya mahu bercuti. Musim ini sangat sukar," tambah Kovac.

"Saya tidak berfikir tentang permulaan musim depan. Kini, saya memerlukan dua atau tiga minggu untuk tenang dan mempersiapkan mental semula."