Pengurus Eintracht Frankfurt, Niko Kovac, dilaporkan telah bersetuju untuk mengendalikan Bayern Munich tetapi wakil Eintracht, Fredi Bobic, menyifatkan tiada sebarang perbincangan diadakan antara kedua belah pihak.

Media Bild di Jerman mendedahkan Bayern telah memilih Kovac sebagai calon utama untuk menggantikan Jupp Heynckes sebaik sahaja pengurus veteran itu meninggalkan pasukan, akhir musim ini.

Thomas Tuchel juga dikaitkan dengan kerusi panas di Allianz Arena itu tetapi Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan bekas pengendali Borussia Dortmund itu telah bersetuju dengan pasukan lain.

Sementara Bobic menyifatkan dia tidak tahu mengenai sebarang perbincangan melibatkan pengendali berusia 46 tahun dari Croatia itu.

"Saya baru pulang dari Denmark dan tidak menerima sebarang panggilan.

"Niko serring bercakap dengan saya tetapi sehingga kini, saya tidak menerima apa-apa maklumat,' kata Bobic.

Kovac bakal mengemudi pasukannya yang kini berada di kedudukan kelima liga dalam aksi Bundesliga di Allianz Arena pada 28 April depan dan dibezakan dua mata dengan slot ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.