Niko Kovac enggan mengulas mengenai spekulasi perpindahan yang mengaitkan Bayern Munich dengan pertahanan yang menjuarai Piala Dunia 2018, Benjamin Pavard, tetapi dia berharap dapat bekerjasama dengan James Rodriguez musim depan.

Pavard, 22, terbabit dalam semua aksi bersama Perancis di Russia serta menyumbat satu gol dalam temasya itu menerusi voli hebat dalam kemenangan 4-3 ke atas Argentina dalam pusingan 16.

Biasa diturunkan sebagai pertahanan tengah Stuttgart pada musim lalu, Pavard unggul sebagai pertahanan kanan di Russia.

Oleh itu, kehadirannya akan menambah fleksibiliti berguna kepada pertahanan Bayern, dengan laporan bertiup kencang mengatakan pemain itu sudah memeterai pra-kontrak untuk 2019 dengan klausa pelepasan bernilai €35 juta (RM165.7j).

Kovac menegaskan, dia tidak tahu sebarang khabar angin meskipun tidak berselindung mengenai kekagumannya terhadap pertahanan itu.

"Saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenainya," kata ketua jurulatih Bayern itu kepada pemberita dalam sidang akhbar semalam.

"Anda perlu menghubungi Brazzo (pengarah sukan, Hasan Salihamidzic). Saya boleh mengesahkan bahawa dia seorang pemain yang bagus.

"Kami mempunyai seramai 22 pemain dan ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk memastikan semua orang gembira. Kami tidak bercakap mengenai pemain lain."

Masa depan James masih lagi dalam kesamaran dengan beberapa cadangan mengatakan Real Madrid mungkin cuba membawanya kembali daripada status pinjamannya di Munich.

Tetapi, Kovac mengharapkan dia kekal di Allianz Arena dengan Bayern memiliki pilihan untuk membelinya pada tahun depan.

"Apa yang saya tahu, kami mempunyai kontrak pinjaman berterusan yang sah," katanya. "Ia bergantung kepada keputusan kami untuk mengekalkannya atau tidak. Buat masa ini, dia kelihatan seperti kekal di sini."

Bayern kehilangan penjaga gol utama, Manuel Neuer, hampir sepanjang tahun lalu akibat patah jari kaki dan meskipun Sven Ulreich menjalankan tugas dengan baik sebagai penggantinya, Kovac seakan-akan mengendurkan harapannya.

"Sven menjalankan tugas dengan sangat baik, tiada orang yang boleh meraguinya -- dia membuktikan ia tindakan tepat untuk berada di sini," kata Kovac.

"Saya tahu saya boleh bergantung padanya tetapi Neuer adalah penjaga gol bertaraf dunia. Saya tahu siapakah yang layak menjadi nombor satu dan siapakah nombor dua tetapi saya juga tahu bahawa nombor dua adalah pemain nombor satu."