Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, berpandangan David Alaba seharusnya dapat diturunkan dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) seterusnya berdepan Tottenham.

Pertahanan kiri itu mengalami kecederaan paha kiri sebelum Bayern terikat 1-1 dengan RB Leipzig pada permulaan bulan ini.

Dia kemudian terlepas kemenangan 3-0 ke atas Red Star Belgrade dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

Namun, selepas Bayern mengatasi Cologne 4-0 dalam perlawanan Bundesliga semalam, Kovac memberi jaminan bahawa ketiadaan Alaba tidak lagi berpanjangan.

"Alaba mula menampilkan peningkatan," katanya. "Kami perlu meningkatkan lagi intensiti lariannya setiap hari sebelum dia dapat menyertai latihan bersama pasukan. Kami berharap dapat menurunkannya ketika berdepan Tottenham.

"Saya berasakan bertemu Paderborn mungkin terlalu awal. Ia juga akan menarik minat jurulatih kebangsaan Austria. Dia akan dapat diturunkan dalam perlawanan antarabangsa seterusnya."

Bayern akan ke London, 1 Oktober ini untuk perlawanan yang menentukan siapa yang bakal mendahului peringkat kumpulan.

Di tahap terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan, Bayern merakamkan kemenangan 4-0 di laman sendiri ke atas Cologne hasil jaringan Robert Lewandowski sementara Philippe Coutinho meledak jaringan pertamanya bersama Bayern menerusi sepakan penalti dan Ivan Perisic melengkapkan kemenangan The Bavarians.

"Kami beraksi cemerlang hari ini, terutama selepas hanya berehat 72 jam sejak Khamis," kata Kovac lagi.

"Cologne bermain dengan baik, bukan mudah untuk mencari jalan mengatasi mereka. Kami bermain dengan lebih lancar dalam separuh masa kedua.

"4-0 merupakan kemenangan yang agak besar tetapi kami hampir menambah lagi jaringan."