Niko Kovac menggesa Bayern Munich supaya mengulangi keampuhan pertahanan seperti ketika mengekang Liverpool apabila mengalihkan tumpuan kepada aksi Bundesliga menentang Hertha Berlin, esok.

Bayern mencatat keputusan seri tanpa gol di Anfield awal pagi kelmarin dan berhasil mengekang kehandalan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) itu.

Bagaimanapun, barisan benteng juara menanti Bundesliga itu tidak mempamerkan prestasi mengagumkan dalam kancah domestik -- gagal mengelak daripada dibolosi sejak awal tahun ini sungguhpun berkesempatan merapatkan jurang dengan pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, kepada tiga mata.

Setelah melihat usaha pemainnya ketika menutup ruang buat jentera serangan berbisa Liverpool, Kovac melihat tiada alasan untuk tidak mengulangi aksi sedemikian ketika melayani Hertha.

"Kejohanan Eropah mempunyai makna yang sangat berbeza tetapi kami perlu terus berjuang dalam Bundesliga," katanya dalam sidang berita pra-perlawanan.

"Kami boleh mengutip banyak perkara positif daripada perlawanan menentang Liverpool dua hari lalu dan kami akan terus menghambat kedudukan puncak Bundesliga menerusi kemenangan. Maka, Dortmund perlu bertindak balas keesokan harinya."

Mengenai tuntutan bentengnya agar diperkemaskan lagi, Kovac menambah: "Ia bukan soal mengenai kami menempatkan empat, lima atau enam pemain pertahanan. Ketika bertemu Liverpool, seluruh pasukan melakukan tugas dengan baik.

"Saya menjangkakan konsistensi dan disiplin bertahan. Kami perlu melakukannya dalam Bundesliga sepertimana ketika kami melakukannya ke atas Salah dan Firmino.

"Sekiranya kami dapat mengulanginya, adalah sangat sukar untuk menembusi pintu gol kami. Sama ada kami suka atau tidak, inilah apa yang kami perlu lakukan."

Pengurus Bayern itu juga berharap barisan pemainnya tidak bersikap sambil lewa ketika menentang Hertha selepas menyekat seteru dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Kami perlu belajar dari masa lalu," kata Kovac. "Kami tewas kepada Hertha (September lalu) kerana kami melakukan kesilapan. Kemudian, Borussia Monchengladbach akan menjadi halangan kami dalam tempoh dua minggu lagi.

"Setiap perlawanan adalah sukar, setiap pasukan sering memberikan aksi 100 peratus terhadap kami.

"Kami sentiasa perlu mengerahkan kudrat, kami perlu yakin tetapi dalam masa yang sama, tidak boleh menoleh ke belakang. Kami perlu terus memandangkan ke hadapan. Kami mahu terus menikmati kejayaan seperti ini sehingga tempoh rehat antarabangsa bulan depan.

"Kami masih dalam perlumbaan untuk merebut tiga gelaran dan kami mahu mengekalkannya. Hanya kemenangan akan menjadi taruhan dan itulah yang saya harapkan ketika kami bertemu Hertha."

Kovac mengesahkan bahawa Mats Hummels terlepas sesi latihan semalam akibat selesema sementara Leon Goretzka masih dalam pemulihan selepas digantikan ketika menentang Liverpool.