Kalidou Koulibaly berkata dia gembira andai spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada satu hari nanti menjadi kenyataan, tetapi menjangkakan akan kekal di Napoli musim depan.

Pemain pertahanan itu kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea menjelang kempen 2016-17, dengan Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, mendakwa pasukan kendalian Antonio Conte itu bersedia membayar EUR58 juta untuk memuktamadkan perjanjian itu.

Namun, Koulibaly yang masih di bawah kontrak dengan Napoli sehingga 2021 setelah menandatangani perjanjian baru, September lalu, dan dia tidak mengharapkan untuk berpindah.

Begitupun, pemain berusia 25 tahun itu, merupakan seorang peminat EPL dan bermain di negara ini selepas memperkuatkan Senegal ketika seri 1-1 dengan Nigeria di London, England, Khamis lalu.

"Saya gembira untuk datang bermain di sini, tetapi sekarang saya perlu kembali ke Napoli," kata pemain pertahanan tengah itu kepada talkSPORT.

"Ini adalah kali pertama saya di London dan ia menakjubkan.

"Pada masa akan datang anda tidak tahu. Ketika ini, saya menumpukan perhatian kepada kelab saya dan kita akan lihat musim depan apa yang saya perlu lakukan.

"Saya berasakan saya akan kekal di Napoli tetapi manalah kita tahu.

"Saya tidak boleh bercakap mengenainya sekarang. Kita perlu tunggu dan melihatnya."

Koulibaly menyertai Napoli dari kelab Belgium, Genk, pada 2014.