Pemain tengah Korea Selatan, Jung Woo-young, berkata pasukannya bersedia untuk menghadapi Mexico berteraskan permainan lebih menyerang selepas El Tri mengejutkan juara bertahan, Jerman, 1-0 dalam aksi pertama Piala Dunia 2018.

Korea kini terdesak untuk mendapatkan keputusan positif selepas tunduk dengan jaringan sama di tangan Sweden dalam perlawanan pertama Kumpulan F.

Mereka bakal berdepan Mexico di Rostov-on-Don, Sabtu ini, dan bercadang untuk memberikan cabaran sebenar buat lawan yang mengejutkan pasukan bimbingan Joachim Low itu.

Bagaimanapun, selepas mempamerkan aksi serangan balas sewaktu berdepan Jerman, skuad bimbingan Juan Carlos Osorio itu dijangka tidak akan menerapkan corak sama setelah dilihat sebagai pilihan dalam pertemuan dengan Korea.

"Mexico mempunyai barisan pemain yang bagus dalam situasi satu lawan satu dan gemar merobek benteng lawan," kata Woo-young.

"Berbanding ketika berdepan Jerman, saya percaya Mexico akan bermain secara berbeza apabila menentang kami. Sudah tentu kami juga tidak akan beraksi seperti Jerman.

"Anda boleh membandingkan dua pasukan di atas kertas tetapi kami sedar perlu menghasilkan keputusan yang positif. Kami tidak memikirkan sama ada kami sebuah pasukan yang lebih berbakat dan lebih kuat atau tidak.

"Kami hanya memikirkan cara untuk menyekat Mexico daripada mempamerkan permainan sebenar mereka," tambahnya.

Sementara itu, Osorio memandang serius penilaian Woo-young dan menyeru pemain-pemainnya agar mempamerkan kualiti sebenar untuk mengesahkan tempat dalam pusingan kedua.

"Sudah tiba masanya untuk Mexico membuktikan bahawa kami mampu.

"Terdapat perbezaan yang ketara di antara pertemuan dengan Jerman atau pasukan lain. Kami harus berpegang kepada persembahan mantap dan cuba mengatasi lawan," ujar Osorio.

PEMAIN TUMPUAN

Mexico - Hirving Lozano


Penjaring gol kemenangan ke atas Jerman ini telah muncul antara pemain yang menjadi buruan beberapa kelab gergasi Eropah dan jaringannya di Moscow tempoh hari menunjukkan masih banyak kemampuan yang belum ditunjukkannya.

Korea Selatan - Ki Sung-yueng

Osorio mendapati pemain tengah Swansea City ini sebagai tonggak utama dalam skuad Korea Selatan dan menggesa pemain-pemainnya agar mengelak daripada bermain di bahagian tengah bagi menjauhkan bola daripada kelibat pemain berusia 29 tahun ini.