Hanya tinggal 11 hari sebelum Piala Dunia 2022 bermula di bumi Qatar.

Pengumuman tentang senarai pemain yang bakal disenaraikan secara rasmi mula dikeluarkan satu demi satu pasukan, mendatangkan episod suka dan duka.

Awal minggu ini, pasukan kebangsaan Brazil memilih untuk melakukan pengumuman pemain mereka dengan cara yang penuh mendebarkan -- melalui siaran langsung di kaca televisyen, dengan nama-nama pemain disebut satu demi satu.

Buat pemain-pemain muda Brazil yang bakal melakukan aksi sulung dalam Piala Dunia kali ini, misalnya Antony dari Manchester United, Gabriel Martinelli dari Arsenal dan Bruno Guimaraes dari Newcastle United, setiap seorang dirakam menanti di ruang tamu masing-masing, ditemani ahli keluarga terdekat dan akhirnya bersorak kegembiraan diiringi air mata apabila nama mereka disahkan tersenarai.

Bagi pasukan negara jiran mereka, Argentina, Piala Dunia kali ini bakal menjadi peluang terakhir buat pemain yang paling disayangi seluruh negara, Lionel Messi, menjulang piala keramat yang telah begitu lama terlepas daripada genggaman.




Dengan prestasi konsisten yang ditunjukkan sejak bertahun-tahun lalu, ditambah lagi dengan gabungan pemain berbakat muda dan berpengalaman, dilaporkan setiap pemain rela mengorbankan apa sahaja demi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Tidak harus dilupakan juga negara-negara yang lebih kerdil.

Kejohanan kali ini menyaksikan Kanada layak ke peringkat akhir buat pertama kalinya dalam tempoh 36 tahun, dipimpin oleh pemain bek kiri penuh lincah dari Bayern Munich, Alphonso Davies.

Republik Demokratik Congo bakal hadir di saat negara mereka dilanda perang yang seolah-olah tiada kesudahan, aksi pasukan bola sepak mereka seharusnya mendatangkan satu kelegaan dan kegembiraan sementara, dengan setiap penderitaan yang dilalui memacu keazaman untuk mencipta kejutan dan mara sejauh mungkin.

Semangat, impian dan keinginan sebeginilah yang menjadikan Piala Dunia satu acara penuh dinantikan setiap empat tahun, tidak kira dalam kalangan pemain mahupun penyokong, piala keramat yang diidam-idamkan bakal diperjuangkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan akan datang.

Namun, sayang sekali acara tahun ini dicemari dengan kontroversi demi kontroversi sebelum sepak mula lagi.

Begitu banyak sekali seruan untuk memboikot Piala Dunia kali ini telah dilancarkan sejak bertahun-tahun lalu, di mana isu tentang pencabulan hak kemanusiaan tenaga kerja yang ditugaskan untuk memantapkan infrastruktur Qatar menjadi topik utama.

Semalam, laporan akhbar dari hampir kesemua sumber media menyebut tentang pendedahan eksklusif bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter, tentang campur tangan politik yang menghadiahkan peluang kepada Qatar untuk menjadi tuan rumah.



Menurut Blatter, tuan rumah yang disasarkan untuk Piala Dunia 2022 sebenarnya adalah Amerika Syarikat -- satu keputusan yang dilakukan kerana seteru politik negara itu, Rusia, telah menjadi tuan rumah pada 2018.

Malang sekali, sewaktu undian peringkat terakhir untuk menentukan negara manakah yang bakal menjadi tuan rumah secara rasmi, campur tangan bekas Presiden UEFA, Michel Platini, mengakibatkan undian memihak kepada Qatar akhirnya.

Blatter turut mengkritik penyandang jawatan Presiden FIFA ketika ini, Gianni Infantino, kerana menjadikan Qatar sebagai tempat tinggal tetapnya.

Keputusan beliau itu dikatakan akan menjadikan dirinya berat sebelah terhadap pihak Qatar sedangkan presiden FIFA sepatutnya menjadi pihak neutral yang adil-seadilnya.

Daripada pihak Infantino pula, semalam beliau telah mengirim surat rasmi daripada pihak FIFA kepada semua 32 pasukan yang layak bertanding demi menyeru agar mereka fokus terhadap bola sepak dan tidak membiarkan diri mereka terpalit dengan segala kontroversi yang melanda.

Sama ada suka ataupun tidak dengan kesemua nama-nama dan perbadanan yang disebut, sama ada lebih banyak pendedahan penuh kontroversi bakal dilakukan dalam tempoh akan datang, seruan agar bola sepak diberikan perhatian sepenuhnya adalah semestinya apa yang dimahukan oleh pencinta sukan ini.