Kontrak baru untuk Paulo Dybala akan diumumkan dalam beberapa minggu ini, kata Ketua Eksekutif Juventus, Giuseppe Marotta.

Dybala menyertai Juve daripada Palermo dengan perjanjian lima tahun pada 2015 dan persembahan hebat menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Barcelona.

Marotta yakin dapat melanjutkan kontrak pemain antarabangsa Argentina berkenaan di Turin dan menjangkakan berita mengenai perkara itu akan dimumkan pada Februari.

"Kami telah bercakap dengan beberapa pihak, saya tidak fikir akan ada sebarang masalah. Pengumuman itu mungkin dibuat dalam beberapa minggu ini," kata Marotta.

"Paulo (Dybala) gembira di sini dan kami gembira memilikinya, itulah sebabnya ada peluang untuk kami mara ke hadapan bersama-sama."

Dybala enggan berjabat tangan dengan jurulatih, Massimiliano Allegri, selepas digantikan dalam kemenangan 2-0 ke atas Sassuolo, Ahad lalu.

Allegri, bagaimanapun, tidak mengendahkan penghinaan itu, dan Marotta berasa ia hanya tanda kekecewaan kerana dia gagal menjaringkan gol.

"Ia adalah perkara kecil dan tidak penting, bola sepak penuh dengan perkara seperti ini. Kami perlu melihat keseluruhan konteks -- dia seorang pemain penting dan pemain profesional yang hebat," katanya.

"Kami tahu wataknya, dia bukan tidak menghormati jurulatih tetapi menunjukkan rasa marah ketika tidak dapat menjaringkan gol. Perkara ini adalah sangat biasa dalam bola sepak."