Kontrak Cheng Hoe dinilai selepas tamat Piala AFF

Bernama
Disember 6, 2018 15:12 MYT
Kontrak ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bersama skuad kebangsaan akan ditentukan selepas berakhir kempen Piala Suzuki AFF 2018.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan nasib pengendali berusia 50 tahun itu akan ditentukan selepas beliau mendapatkan laporan penuh berhubung prestasi skuad Harimau Malaya dalam kejohanan itu daripada pengurus pasukan negara, Datuk Yusoff Mahadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya skuad negara dari Bangkok, petang tadi.
Untuk rekod, Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad negara pada Disember tahun lalu, menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan walaupun baru mengendalikan skuad negara selama tujuh bulan.
Dalam pada itu, Hamidin, menjelaskan FAM masih mengekalkan sasaran juara untuk skuad negara dalam kempen Piala Suzuki AFF kali ini.
Beliau berharap pemain dapat mengekalkan momentum untuk menghadapi dua aksi final yang menggunakan format timbal balik, Selasa dan Sabtu depan.
"Apabila layak ke perlawanan akhir, skuad negara perlu menjadi juara.
"Jika menjadi naib johan, sejarah tidak akan tercipta.
"Peluang keemasan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi memenuhi harapan peminat.
"Saya sudah memberitahu Cheng Hoe dan pemain-pemain bahawa tugas mereka masih belum selesai.
"Ia (mara ke final) baru satu permulaan," katanya.
Malaysia mara ke final selepas seri 2-2 dengan Thailand dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, malam tadi.
Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya layak ke final menerusi peraturan gol laman lawan.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Malaysia akan berdepan Vietnam dalam aksi final yang dijadual berlangsung, Selasa dan Sabtu depan.
-- Bernama