Pra-musim liga NBA musim baharu telah pun bermula, namun konflik yang dialami oleh Philadelphia 76ers dan Ben Simmons masih belum menjumpai jalan penyelesaiannya.

Ben Simmons telah menyatakan hasratnya untuk tidak kembali ke francais Philadelphia 76ers itu walaupun telah menandatangani kontrak 5 tahun yang bernilai 177.2 Juta USD pada tahun 2019.

Pemain point guard bertaraf All-Star milik Philadelphia 76ers itu telah mengumumkan bahawa dia mahu berpindah ke pasukan lain dan tidak lagi berminat untuk bermain bersama pasukan Philadelphia 76ers. Malah, Ben Simmons juga enggan untuk melapor diri ke pusat latihan Philadelphia 76ers biarpun dia akan kehilangan sekitar 8.25 Juta USD iaitu 25% gajinya pada musim 2021/22.

Keinginan Ben Simmons untuk meninggalkan pasukan Philadelphia 76ers itu terluah setelah tamatnya kempen 76ers di peringkat playoffs musim lepas setelah tersingkir di peringkat separuh akhir Eastern Conference apabila ditewaskan oleh Atlanta Hawks di perlawanan ke-7 untuk menamatkan siri yang sengit itu 4-3. Setelah kekalahan itu, Ben Simmons berasa seperti semua kesalahan berpunca daripadanya. Ini kerana, pemain yang dinobatkan 3-kali All-Star itu sering dicaci oleh para peminat setelah habisnya kempen mereka pada musim lepas itu. Aksi Simmons yang hambar di peringkat separuh akhir Eastern Conference itu menjadi bualan yang hangat di kota Philadelphia dan Simmons merasakan bahawa tekanan itu sangat menggangu dirinya.


Bukan sahaja mengalami gangguan kritik daripada peminat, malah terdapat individu-individu di dalam organisasi 76ers yang sering mengkritik gaya permainan Ben Simmons yang tidak boleh melakukan balingan daripada mana-mana aspek gelanggang sekalipun. Malah ketika hari media pasukan Philadelphia 76ers, rakan sepasukan Ben Simmons, dan juga merupakan pemain bintang pasukan itu, Joel Embiid berkata bahawa pasukan 76ers ini sering dibina untuk memenuhi keperluan Ben Simmons. Mereka melepaskan pemain-pemain yang hebat seperti Jimmy Butler dan Al Horford agar Simmons lebih selesa bermain di atas gelanggang yang dimana bola keranjang itu dikuasai oleh Simmons sepenuh masa dan tidak perlu berkongsi penguasaan bola bersama pemain bintang yang lain.

Namun apabila masanya sudah tiba untuk Ben Simmons membuktikan dirinya kepada pasukan, Dia hilang di saat mereka memerlukannya. Memahami kehendak dan wawasan pasukan Philadelphia 76ers yang ingin menjuarai Eastern Conference namun tumpas di peringkat separuh akhir buat kali ke-2 berturut-turut merupakan suatu kekecewaan yang menghiris hati dan emosi para peminat dan individu-individu di dalam pasukan 76ers. Philadelphia 76ers yang menamatkan liga NBA di tempat pertama Eastern Conference tampak yakin memasuki pusingan playoffs musim lepas, mereka tidak perlu bertemu pasukan yang kuat seperti Milwaukee Bucks yang merupakan juara liga NBA musim itu mahupun Brooklyn Nets yang dijangka untuk memenangi liga NBA musim lepas. Namun, Philadelphia 76ers tumpas juga di tangan Trae Young dan Atlanta Hawks yang menamatkan liga NBA di tangga ke-5 Eastern Conference dan mengejutkan ramai setelah melayakkan diri ke peringkat akhir Eastern Conference itu.

Philadelphia 76ers yakin mereka mempunyai pasukan yang kuat dan kukuh untuk memenangi Eastern Conference musim lepas, namun cara permainan Ben Simmons yang takut untuk membuat balingan agak melemahkan pasukan 76ers itu. Ben Simmons mempunyai banyak skill yang melayakkan dirinya untuk digelar pemain All-Star namun kelemahannya untuk membuat balingan sering menjadi taraf ukur dirinya untuk menjadi seorang pemain yang hebat. Ramai peminat yang melabel Simmons sebagai seorang pemain yang malas kerana Simmons tidak berusaha untuk memperbaiki skill balingannya yang akan membantu kariernya dan pasukan untuk mencapai sesuatu matlamat yang besar iaitu memenangi liga NBA.



Ben Simmons memfailkan penceraian talak tiga bersama pasukan Philadelphia 76ers namun pasukan itu masih belum memberi tanda setuju untuk melepaskan pemain Rookie terbaik tahun 2017/18 itu kerana mereka belum bersedia untuk melakukan perpindahan yang merugikan pasukan. 76ers hanya akan melepaskan Ben Simmons sekiranya mereka mendapat kembali pemain yang bertaraf All-Star juga dan ini kelihatan agak sukar kerana kebanyakan pasukan sudah pun bersedia untuk menempuhi musim baharu dan enggan melakukan perpindahan di saat akhir yang akan menggangu momentum pasukan. Malah sesetengah pasukan tidak percaya akan kebolehan Ben Simmons dan enggan mengambil risiko itu.

Sekiranya tiada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ben Simmons, Philadelphia 76ers bersedia untuk menerima Simmons dengan tangan terbuka dan membuka lembaran baharu bersama pemain bintang mereka itu kerana mereka masih berfikir bahawa Ben Simmons masih merupakan pemain yang mereka mahukan untuk mengemudi pasukan ini. Malah, 76ers menghantar beberapa individu daripada organisasi itu untuk ke rumah Simmons di California untuk membincangkan isu yang dihadapi mereka ini, namun ditolak oleh Ben Simmons yang enggan untuk berjumpa dengan mana-mana individu daripada organisasi itu.

Konflik rumah tangga yang dialami oleh Ben Simmons dan Philadelphia 76ers ini telah memakan masa yang agak lama dan dijangka akan berterusan sehingga salah satu pihak mengalah, sama ada Ben Simmons akan kembali ke 76ers atau 76ers akan menjumpai pembeli yang sesuai buat Simmons. Adakah anda rasa pasukan Philadelphia 76ers akan memulakan musim bersama Simmons di atas gelanggang? Atau adakah Simmons akan menyarung jersi pasukan baru buat masim baru yang akan tiba ini?