Valencia telah menandatangani pemain tengah Inter Milan dan Perancis, Geoffrey Kondogbia, secara tetap selepas melalui tempoh pinjaman yang berjaya di Mestalla.

Kondogbia bersetuju dengan kontrak sehingga 2022 dan jumlah yuran perpindahan itu dilaporkan sekitar EUR25 juta (RM116 juta).

Dalam masa sama, Valencia turut mengesahkan kontrak pemain berusia 25 tahun itu turut disertakan klausa perpindahan berjumlah EUR80 juta (RM373 juta).

Kondogbia yang menyertai Inter Milan dari Monaco pada Jun 2015 telah melakukan 31 penampilan LaLiga pada musim ini bersama Valencia dan mengutip empat gol, sekali gus membantu skuad kendalian Marcelino itu kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Bagaimanapun, prestasi itu masih belum cukup untuk memikat pengendali Les Bleus, Didier Deschamps, menjelang aksi Piala Dunia 2018.

"Situasi dalam bola sepak tidak selalunya adil," ujar Kondogbia.

"Saya berbangga dengan diri sendiri serta pasukan. Saya telah menjalankan tanggungjawab tetapi ia sebenarnya melibatkan beberapa faktor untuk membolehkan dipanggil.

"Saya sedar ia sangat sukar tetapi apa yang penting adalah kami menjalankan tugas dengan baik dan gembira.

"Tanggungjawab telah dijalankan dan prestasi setiap pemain telah meningkat."