Geoffrey Kondogbia menuntut kontrak kekal di Valencia selepas tiba secara pinjaman dari Inter Milan tatkala dia menaruh harapan untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018, menurut ejennya.

Bekas tonggak AS Monaco itu bergelut untuk mendapatkan rentak terbaiknya di San Siro tetapi dia pantas menyerlah di Valencia yang sedang menghuni tangga kedua LaLiga selepas 11 perlawanan.

Wakil pemain itu, Evans Kondogbia, mendedahkan dia sedang mengintai kontrak tetap di Mestalla.

"Dia sangat gembira di Valencia dan demi masa depan, kami akan mencari penyelesaian yang sesuai dengan kelab Sepanyol dan Inter," katanya kepada Superdeporte.

"Geoffrey berasakan bahawa dia mempunyai segala-gala yang diperlukan di Valencia dan akan membawa keluarganya untuk tinggal di bandar yang indah ini, di mana dia bermain untuk pasukan yang dapat bersaing di peringkat tinggi. Dia mahu kekal bersama Valencia dalam tempoh yang lama.

"Dia masih mempunyai kontrak dengan Inter dan kita tidak pernah tahu apa yang mungkin berlaku tetapi tugas saya adalah untuk mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak. Saya berharap dia boleh tinggal di sini selama bertahun-tahun tetapi semuanya bergantung kepada kedua-dua kelab."

Kondogbia tidak dipanggil ke dalam skuad Perancis sejak 2015 dan kempen Piala Dunia masih menjadi sasaran buat pemain berusia 24 tahun itu.

"Geoffrey bekerja keras dan memasang impian untuk ke Piala Dunia pada 2018," tambah adiknya itu.

"Terdapat banyak persaingan di bahagian tengah Perancis, namun Didier Deschamps pasti akan memanggilnya jika dia mengekalkan prestasinya sehingga Mac."