Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menawarkan perkembangan tahap kecergasan kuartet pertahanan, Virgil van Dijk, Joe Gomez, Joel Matip dan Trent Alexander-Arnold selepas mereka telah kembali menyertai sesi latihan bersama pasukan.

Alexander-Arnold terlepas Euro 2020 selepas mengalami kecederaan kuadrisep menjelang saingan Euro 2020 bermula, dan bersaing dengan masa untuk beraksi pada permulaan musim 2021-22 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)

Liverpool memulakan kempen EPL bertemu Norwich City 14 Ogos ini.

"Trent mengalami kecederaan yang cukup serius tetapi ia tidak begitu sukar ditangani," kata Klopp.

"Dia semakin hampir, dalam lima atau enam hari dia menjalani program khas ketika ini."


Liverpool mengalami krisis kecederaan sepanjang musim 2020-21 selepas kehilangan khidmat van Dijk, Gomez dan Matip bagi jangka masa panjang tetapi bakal diperkuat dengan kehadiran pertahanan Perancis, Ibrahima Konate dari RB Leipzig.

Pemain kebangsaan Belanda, Van Dijk tidak beraksi sejak Oktober apabila mengalami kecederaan ligament lutut.

Gomez turut diketepikan ekoran pembedahan lutut manakala Matip dihimpit masalah buku lali.

Trio itu bersama Alexander-Arnold dan kesemua skuad 34 pemain Liverpool menjalani pramusim di Austria minggu ini.