Vincent Kompany mencadangkan dia akan bersara daripada saingan antarabangsa bersama Belgium selepas tamat Piala Dunia 2018.

Kapten pasukan Manchester City itu terpaksa mengharungi musim yang mengecewakan selepas dihimpit masalah kecederaan sejak kebelakangan ini apabila sekadar membuat 25 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat dua musim tetapi kini kembali cergas sepenuhnya di bawah kendalian Pep Guardiola.

Kompany kini memberikan tumpuan sepenuhnya untuk beraksi cemerlang dalam Piala Dunia di Russia dan melihatnya sebagai kejohanan antarabangsa terakhir buat dirinya.

"Ia merupakan perkara yang penting buat saya kembali bersama pasukan," katanya.

"Saya memahami bahawa terdapat beberapa pihak yang meragui saya tetapi saya mengetahui tahap saya.

"Saya menghabiskan banyak masa -- 30 minit sehingga satu jam -- untuk melakukan senaman sebelum dan selepas perlawanan dan saya sangat bertuah kerana dapat beraksi bersama antara pemain-pemain terbaik dunia.

"Piala Dunia 2018 akan menjadi satu motivasi yang tinggi buat saya. Ia berkemungkinan akan menjadi saingan antarabangsa terakhir saya bersama Belgium. Saya akan cuba memberikan yang terbaik buat diri saya dan pasukan."