Pemain tengah Petaling Jaya City FC, R. Kogileswaran, beranggapan prestasi dalam saingan Liga Super sebelum ini tidak wajar dijadikan penanda aras menjelang perhitungan pasukannya menentang Terengganu FC dalam pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Aksi di Stadium Petaling Jaya pada 22 Ogos lalu menyaksikan pasukan tuan rumah itu tewas 0-2 kepada Terengganu hasil jaringan berganda Dominique Da Silva.

Kogileswaran, yang merupakan antara kesebelasan utama dalam perlawanan itu, tidak berasa trauma malah teruja untuk menebus kekecewaan itu berdasarkan persiapan rapi yang dirangka ketua jurulatihnya, K. Devan, dalam merebut tempat ke suku akhir.

"Pada waktu itu, saya dan pasukan sudah menyedari kami akan bertemu lawan yang kuat. Terengganu bukanlah calang-calang pasukan," katanya kepada Nadi Arena.

"Tetapi PJ City kini sudah bersedia untuk berhabis-habisan dalam menentang Terengganu."

Format kalah mati dalam kempen kali ini juga dilihat sebagai satu kelebihan seandainya PJ City dapat memanfaatkan segala peluang terhidang, sekali gus memperbaiki pencapaian edisi lalu yang sekadar terhenti di peringkat kumpulan.

"Saya memang suka bermain di tempat lawan berbanding di laman sendiri.

"Tetapi dengan format kalah mati ini, kami tidak kisah beraksi di mana-mana venue.

"Kami akan beraksi tanpa penyokong, jadi ia tidak mendatangkan kesan.

"Jadi, ia akan mejadi perlawanan 50-50 dan apa yang kami tahu, kami tidak mahu melakukan sebarang kesilapan dalam pertemuan kali ini," tambahnya.