Pengendali Belanda, Ronald Koeman, berkata belum tiba masa untuknya memikirkan gelaran selaku pengurus baru bekas kelabnya, Barcelona.

Koeman muncul sebagai salah seorang calon untuk mengendalikan The Blaugrana susulan laporan Ernesto Valverde bakal kehilangan jawatannya.

Spekulasi hangat diperkatakan mengenai pengurus itu tatkala perbincangan buat Valverde dikhabarkan bakal ditangguh walaupun memasuki tahun kedua gagal di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Ia bukan kali pertama buat Koeman yang beraksi selama enam musim di Barca selaku pemain dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou.

Namun, dia yang menguruskan Belanda sejak Februari 2018, dilihat tidak bersedia untuk memikirkan sebarang perubahan.

"Jika kini tinggal setahun dan hanya semusim sebelum saingan Euro 2020, jadi belum tiba masanya," ujar bekas pengendali Everton dan Southampton itu.

"Terdapat orang ramai yang mengatakan bahawa jika Barcelona datang, saya akan pergi.

"Media akan menyiarkan cerita sebegitu dan itu hak mereka. Saya tahu apa perjanjian yang telah saya capai dengan Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB). Ia cukup buat saya."

Ditanya sama ada khabar angin itu patut dihentikan, Koeman menjawab: "Ya, selagi saya mengetahuinya."

Belanda bakal bertemu England dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA, Khamis ini.

Pemenang bakal melakukan perhitungan dalam final menentang sama ada Switzerland atau Portugal untuk dinobatkan selaku juara sulung kejohanan itu.