Ronald Koeman berkata dia tiada sebarang isu dengan Presiden Barcelona, Joan Laporta, selepas terdapat dakwaan bahawa hubungan dua individu itu sedang retak menanti belah.

Barca menamatkan musim lalu di tangga ketiga LaLiga -- tujuh mata di belakang juara, Atletico Madrid -- dan tersingkir di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Laporta kemudian berusaha mencari pengurus baru pasukan itu pada Jun lalu sebelum memilih untuk mengekalkan Koeman, yang berkata kepada NOS bahawa ada beberapa komen daripada presiden kelab itu yang "tidak bijak".

Bagaimanapun, menjelang perlawanan pertama UCL menentang Bayern Munich awal pagi esok, ketua jurulatih kelab Catalan itu memberikan jaminan mengenai hubungannya dengan Laporta.

"Hubungan kami baik," kata Koeman dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Jika ada sesuatu perkara, kami akan berbincang mengenainya.

"Kami mahukan yang terbaik buat kelab ini, di mana ia sentiasa menjadi perkara terpenting.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan presiden dan kami berbincang mengenai perkara berkaitan kelab ini, satu hubungan yang sempurna bagi saya. Kami mempunyai sedikit perdebatan tetapi kami baik-baik sahaja," katanya.

Koeman, yang kehilangan legenda Blaugrana, Lionel Messi, selepas pemain itu memilih menyertai PSG berikutan masalah berkaitan kewangan dengan LaLiga bulan lalu, kelihatan akan memberikan peluang buat tenaga muda menjelang perlawanan pembukaan itu.

"Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan, saya adalah seorang jurulatih yang memberikan peluang buat pemain muda," kata Koeman ketika ditanya mengenai temu bualnya dengan NOS.

"Anda tidak akan jumpa jurulatih lain yang memberikan peluang seperti itu sebanyak saya. Saya seorang jurulatih dan saya mencari yang terbaik buat kelab ini.

"Kami sedar ia situasi yang rumit tetapi kami sedang memperbaiki beberapa perkara dan salah satu daripadanya adalah dengan memberikan peluang buat pemain muda, yang merupakan masa depan kelab ini," tambahnya.